Lesen Peniaga Akan Dibatalkan Jika Naikkan Harga Ayam – KPDNHEP

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak teragak-agak untuk menamatkan lesen peniaga yang menaikkan harga ayam lebih daripada harga siling ditetapkan.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata ketika ini pihaknya sudah menjalankan penguatkuasaan lebih ketat susulan laporan mengenai penyelewengan harga ayam.

“Kami akan guna peruntukan sedia ada. Mereka ini (peniaga berlesen) yang masih berdegil menjual lebih daripada harga ditetapkan, mungkin tindakan keras seperti pembatalan lesen boleh dipertimbangkan,” katanya semalam.

Azman mengulas keluhan orang ramai berikutan peningkatan harga ayam biarpun kerajaan sebelum ini memberi jaminan tiada lagi kenaikan berikutan pemberian subsidi kepada penternak.

Pada 9 Februari lalu kerajaan mengumumkan pemberian subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam. Dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang RM5.90 sekilogram, harga siling runcit ayam bulat standard ditetapkan pada RM8.90 sekilogram untuk tempoh hingga 5 Jun ini. Kabinet turut bersetuju memberi subsidi lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis kategori.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya sudah menerima aduan berkenaan kenaikan harga ayam dan mengarahkan penguat kuasa menjalankan siasatan. Siasatan tidak akan berakhir pada satu peringkat sahaja kerana jika peruncit mendakwa membeli pada harga mahal daripada pemborong kementerian itu akan menyiasat dakwaan berkenaan sehingga ke peringkat penternak.

Katanya, KPDNHEP memerlukan masa untuk menjalankan siasatan termasuk membabitkan rantaian pembekalan.

“Kami menerima aduan daripada penternak di ladang yang mendakwa kos bahan mentah meningkat.

“Justeru, KPDNHEP akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mendapatkan gambaran sebenarnya,” katanya.

Azman berkata, pihaknya sudah mengambil perhatian berkenaan kes kenaikan harga ayam itu dan ia berlaku di tempat tertentu sahaja.

Pada masa sama, katanya, apabila kerajaan sudah menetapkan harga siling sesuatu bahan mentah termasuk ayam, ia wajib dipatuhi oleh setiap peringkat dan rantaian. Harga ditetapkan itu sudah mengikut margin keuntungan setiap pihak dan tiada isu mengatakan mereka berhadapan kerugian. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat