Ringgit susut berbanding dolar AS dan mata wang Asean

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana susulan peningkatan unit tempatan itu, baru-baru ini.

Prestasi itu turut didorong oleh kekecewaan pelabur terhadap sasaran makroekonomi China yang ditetapkan pada Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC).

Pada jam 6 petang, ringgit susut ke paras 4.7325/7380 berbanding 4.7200/7250 pada akhir urus niaga semalam.

Perdana Menteri China, Li Qiang pada Selasa berkata, China menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 5.0 peratus pada 2024, lebih rendah daripada 5.2 peratus yang diraih pada 2023 berikutan keadaan ekonomi global yang kurang memberangsangkan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur melihat sasaran KDNK China sebagai lebih tinggi, terutama ketika pemaju hartanah masih bergelut dengan ketidaktentuan yang dialami sektor berkenaan.

Selain itu, katanya, aktiviti pengambilan untung berkemungkinan berlaku selepas ringgit mengukuh berbanding dolar AS sejak minggu lepas.

“Secara menyeluruh, sentimen pelabur kekal positif terhadap dolar AS ketika Rizab Persekutuan (Fed) tidak dijangka mengubah pendirian dari segi dasar monetari lebih ketat,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, katanya, Indeks Harga Pengguna Tokyo pula melebihi jangkaan pada 2.5 peratus bagi Februari daripada 1.8 peratus dalam bulan sebelumnya yang menyokong langkah dasar monetari lebih ketat oleh Bank of Japan (BOJ) pada tahun ini.

“Berikutan itu, yen Jepun susut berbanding dolar AS kepada 150.39 yen. Segelintir ahli ekonomi pula menjangkakan BOJ berkemungkinan melepaskan pendirian kadar faedah negatif menjelang April ini,” katanya.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 6.0027/0097 daripada 5.9840/9904 semalam; rendah berbanding euro kepada 5.1348/1407 daripada 5.1198/1252 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.1466/1505 daripada 3.1410/1445 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang Asean, termasuk susut berbanding baht Thailand pada 13.2119/2320 daripada 13.1766/1965 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5209/5253 berbanding 3.5137/5177, sebelum ini.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit juga susut kepada 300.0/300.5 daripada 299.7/300.2 dan turun berbanding peso Filipuna pada 8.45/8.47 daripada 8.43/8.44, sebelumnya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat