Selebriti popular warnai Gema Raya Putrajaya 2026, janjikan pengalaman Ramadan-Raya lebih istimewa

PUTRAJAYA, 5 FEBRUARI 2026 – Kehadiran barisan selebriti popular tanah air menjadi antara faktor utama yang menjadikan Gema Raya Putrajaya 2026 @ Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai festival Ramadan–Raya yang paling dinanti tahun ini.

Bakal berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga malam Aidilfitri, festival ini bukan sahaja menampilkan konsep bazar dan aktiviti keluarga, malah diserikan dengan persembahan artis-artis terkenal yang pernah menguasai carta muzik dan pentas anugerah berprestij.

Antara selebriti yang dijadualkan membuat persembahan pada hujung minggu terpilih ialah Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali. Menariknya, kesemua mereka merupakan bekas finalis Anugerah Juara Lagu (AJL), sekali gus menjadikan Gema Raya Putrajaya 2026 sebagai antara festival Ramadan–Raya yang menampilkan barisan artis berstatus premium.

Turut memeriahkan pentas Gema Raya Putrajaya ialah Bella Astillah serta artis baharu yang semakin mencuri perhatian, iaitu Didie Shazry, juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia, dan kumpulan Alpha yang ditubuhkan menerusi program Big Stage Alpha.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, pemilihan barisan selebriti tersebut dibuat secara teliti bagi memastikan keseimbangan antara hiburan berkualiti, kesesuaian dengan suasana Ramadan serta tarikan komersial kepada pengunjung.

“Kehadiran selebriti popular bukan sekadar elemen hiburan, tetapi menjadi magnet utama untuk menarik pengunjung hadir ke PICC sepanjang penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026. Ini secara tidak langsung memberi impak positif kepada peniaga dan keseluruhan ekosistem festival,” katanya.

Menurut Rayme, penglibatan artis-artis bertaraf gred A yang pernah memenangi pelbagai anugerah juga menjadi penanda aras kepada kualiti penganjuran, sekali gus mengangkat imej Gema Raya Putrajaya sebagai festival Ramadan–Raya berprestij.

“Pentas hiburan yang kami sediakan bukan sekadar ruang persembahan biasa, sebaliknya platform eksklusif untuk artis mendekati peminat dalam suasana Ramadan dan Syawal yang lebih santai dan beradab,” ujarnya.

Selain persembahan pentas, kehadiran selebriti turut memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung yang berpeluang menyaksikan artis kegemaran mereka secara lebih dekat sambil menikmati suasana iftar dan moreh di puncak bukit PICC yang menawarkan panorama indah Putrajaya.

Pada masa sama, Gema Raya Putrajaya 2026 turut menjadi medan strategik buat selebriti mempromosikan karya dan jenama peribadi mereka, sekali gus memperkukuh hubungan antara artis dan peminat dalam suasana yang lebih mesra serta kekeluargaan.

Festival ini dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Selain hiburan, Gema Raya Putrajaya 2026 turut menampilkan hampir 300 vendor merangkumi pelbagai segmen keusahawanan, di samping program kerohanian, seni budaya dan inisiatif kebajikan komuniti.

Setakat ini, lebih 150 lot niaga telah habis terjual sejak jualan dibuka pada Disember lalu, membuktikan keyakinan tinggi usahawan terhadap potensi festival yang disokong oleh tarikan selebriti popular.

Dengan gabungan selebriti ternama, lokasi ikonik serta konsep Ramadan–Raya yang menyeluruh, Gema Raya Putrajaya 2026 dijangka muncul sebagai antara acara hiburan dan gaya hidup terbesar sepanjang musim perayaan tahun ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual persembahan artis dan pengisian acara menerusi laman web rasmi Gema Raya Putrajaya di www.klramadanfestival.com.my.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat