KUALA LUMPUR,– Kerjasama pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) antara Malaysia dan China yang sedang dirangka dijangka menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi kedua-dua negara menerusi penubuhan Malaysia-China Institute (MCI).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama itu merangkumi pembangunan modal insan, latihan pengajar (training of trainers), sokongan peralatan serta pemindahan kemahiran teknikal berimpak tinggi.
Menurut beliau, perbincangan turut melibatkan keperluan penghantaran tenaga pengajar bahasa Mandarin ke MCI bagi menyokong keperluan latihan serta pengukuhan komunikasi dua hala dalam sektor teknikal dan industri. 
“Penubuhan MCI berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi Malaysia dan China, selari dengan keperluan industri masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 
Ahmad Zahid berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi pertemuan beliau bersama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing, yang turut menyentuh hala tuju kerjasama TVET berimpak tinggi dan bernilai tambah tinggi.
Pada peringkat awal, MCI akan beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk sebelum sebuah kampus tetap dibangunkan di atas tanah seluas 60 ekar, dengan kapasiti sehingga 2,000 pelajar. 
Sebagai langkah ke hadapan, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama serta melaksanakan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar dalam sektor berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dan keperluan industri masa hadapan. 



