Oleh Zihan Zari
KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia memandang serius sebarang dakwaan salah laku dan rasuah yang melibatkan mana-mana pegawai dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membantu siasatan.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan ringkasnya mengambil maklum susulan laporan media berhubung operasi yang dijalankan oleh SPRM melibatkan beberapa pegawai penjara.
“Jabatan Penjara menghormati proses siasatan dan akan melaksanakan tindakan lanjut di peringkat jabatan berdasarkan hasil siasatan dan perundangan yang berkaitan.
“Jabatan Penjara komited untuk mengekalkan tahap integriti, profesionalisme dan tadbir urus yang tinggi dalam perkhidmatan serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku,”kata kenyataan itu pada Rabu.
Ujarnya, orang ramai dimohon untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi memastikan proses siasatan tidak terjejas dan berjalan lancar.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM Sarawak pada Selasa telah menahan 11 pegawai penjara yang bertugas di Penjara Bintulu disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM239,000.
Kesebelas mereka merupakan penjawat awam dipercayai menerima wang rasuah antara RM2,400 hingga RM45,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank milik isteri serta orang tengah antara tahun 2020 hingga 2025.
Laporan media itu juga menyebut, Pengarah SPRM Sarawak, Dato’ Hasbilah Mohamad Salleh telah mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.-SUARA.TV



