Bersatu Tasek Gelugor mahu rayuan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal ditolak dan kedudukan mereka di Dewan Rakyat dipindahkan

TASEK GELUGOR,— Bersatu Bahagian Tasek Gelugor mendesak agar rayuan disiplin yang dikemukakan oleh Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ditolak sepenuhnya, selain menuntut supaya kedudukan mereka di Dewan Rakyat dipindahkan daripada blok Perikatan Nasional kepada Ahli Parlimen Bebas.

Ketua Bersatu Bahagian Tasek Gelugor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar, Azmi Alang, berkata pendirian itu diambil berikutan sikap kedua-dua individu berkenaan yang sehingga kini tidak menunjukkan sebarang tanda keinsafan, sebaliknya terus menyerang secara terbuka Institusi Presiden serta kepimpinan sah parti, yang jelas bercanggah dengan prinsip disiplin dan kesetiaan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa proses rayuan bukan hak automatik dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan penentangan atau sabotaj terhadap parti.

Menurutnya, individu yang masih menyerang kepimpinan tidak layak menuntut ihsan melalui mekanisme rayuan, sebaliknya wajar menjalani sepenuhnya hukuman yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin sebelum sebarang pertimbangan lanjut dibuat.

Azmi turut mengingatkan bahawa Wan Saiful telah dipecat daripada Bersatu, manakala Wan Ahmad Fayhsal pula digantung keahlian. Justeru, katanya, kedua-dua mereka tidak lagi mempunyai sebarang hak, mandat atau maruah politik untuk terus menggunakan nama Bersatu atau Perikatan Nasional, apatah lagi mencampuri urusan dalaman parti.

“Tindakan mereka bercakap dan bertindak atas nama PN adalah memalukan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan integriti gabungan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Azmi mendesak Ketua Pembangkang Malaysia supaya mengeluarkan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal daripada senarai Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan memindahkan mereka ke kerusi Ahli Parlimen Bebas, memandangkan kedua-duanya tidak lagi mencerminkan disiplin, pendirian dan prinsip perjuangan PN.

Beliau turut mendedahkan bahawa jauh sebelum pemecatan Wan Saiful, Bersatu Bahagian Tasek Gelugor telah secara rasmi memaklumkan kepada Presiden parti, Muhyiddin Yassin, bahawa Wan Saiful tidak lagi layak dan tidak dipercayai untuk dicalonkan sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Namun, katanya, pendirian dan kebimbangan akar umbi itu tidak diendahkan, dan perkembangan semasa membuktikan bahawa kebimbangan tersebut adalah berasas.

Azmi menegaskan bahawa Bersatu Bahagian Tasek Gelugor akan terus berdiri teguh mempertahankan kepimpinan parti serta memastikan Bersatu dibersihkan daripada mana-mana individu yang merosakkan kepercayaan ahli dan rakyat.

Menurut beliau, ahli-ahli Bersatu serta pengundi di Tasek Gelugor kini berasa amat kecewa dan marah terhadap tindakan Wan Saiful yang didakwa mengkhianati mandat pengundi serta mencemarkan imej Bersatu dan Perikatan Nasional. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat