Pemuda UMNO WP Bidas Wan Mahussin , Tegaskan Perjuangan Bukan Demi Habuan

Cyberjaya – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan membidas kenyataan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain, yang menolak seruan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh agar UMNO menilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO WP, Nasrun Nasaruddin, berkata sejak penubuhannya, Pemuda UMNO tidak pernah ditakrifkan sebagai sayap yang selesa, sebaliknya berperanan sebagai pendesak yang mempertahankan prinsip perjuangan, maruah parti dan kepentingan bangsa.

Menurut beliau, sejarah membuktikan peranan itu apabila tokoh-tokoh awal Pemuda UMNO seperti Allahyarham Datuk Harun Idris berani mendesak tarikh kemerdekaan dipercepatkan tanpa mengharapkan ganjaran atau kedudukan.

“Namun amat menghairankan apabila warkah Wan Mahussin kepada Ketua Pemuda UMNO lebih banyak berkisar tentang pangkat, kedudukan dan kesenangan apabila UMNO berada dalam kerajaan, bukan soal prinsip perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nasrun menegaskan bahawa majoriti ketua Pemuda UMNO di peringkat bahagian tidak menerima sebarang habuan, projek atau kesenangan seperti yang digambarkan, sebaliknya terus bekerja di akar umbi dengan sumber sendiri.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa “banyak yang boleh diperoleh” dengan berada dalam kerajaan, sedangkan realiti itu tidak dirasai oleh kebanyakan pimpinan Pemuda di peringkat bahagian.

“Adakah pengalaman itu hanya eksklusif kepada segelintir individu tertentu? Atau mereka yang tugasnya sekadar mempertahankan Kerajaan Perpaduan?” soal beliau.

Nasrun berkata perbezaan ketara dapat dilihat antara perjuangan yang berteraskan prinsip dengan politik yang dinilai berdasarkan pulangan peribadi.

“Yang satu sanggup berkorban demi parti. Yang satu lagi menilai politik melalui pulangan peribadi,” katanya.

Beliau turut menolak sekeras-kerasnya gambaran bahawa pimpinan Pemuda sanggup menggadaikan maruah dan keluarga demi kedudukan, sambil menegaskan kebanyakan mereka sudah matang dan mampu membezakan antara perjuangan dan ketamakan.

Mengakhiri kenyataannya, Nasrun menegaskan Pemuda UMNO memerlukan pemimpin yang konsisten walaupun tanpa jawatan, pangkat dan imbuhan.

“Jika perjuangan tanpa habuan dirasakan terlalu berat, lebih baik meletakkan jawatan dan mencari parti lain yang mampu memberikan kesenangan,” katanya.

Beliau menyerahkan kepada ahli dan akar umbi untuk menilai sendiri siapa yang berjuang atas dasar prinsip, dan siapa yang selesa kerana kedudukan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat