Jangan Takut Jika MN Dihidupkan Semula : Akmal Balas Kritikan MP DAP

CYBERJAYA – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mempertahankan pendiriannya mengenai usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), sambil membidas kritikan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang sebelum ini mempersoalkan peranan dan motif politik beliau.

Dalam satu hantaran di media sosial, Akmal menyifatkan reaksi pihak lawan terhadap isu penyatuan ummah sebagai beremosi dan berlebihan, sambil menegaskan bahawa usaha tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman.

“Tengah kepanasan ke bila kami bercakap tentang penyatuan ummah ni? Lagi kamu panas, lagi kami suka,” katanya.

Akmal turut menolak dakwaan bahawa beliau bertindak atas kepentingan peribadi atau agenda politik sempit, sebaliknya menegaskan dirinya hanyalah individu biasa yang berpegang kepada prinsip mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Saya bukanlah sesiapa, hanya seorang anak kampung Melayu Islam seperti yang lain yang akan pertahankan agama, bangsa dan tanah air ini walau dengan nyawa sendiri,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa MN merupakan gabungan politik yang telah gagal, Akmal berkata tiada sebab untuk pihak tertentu berasa bimbang sekiranya Umno dan PAS berhasrat menghidupkan semula kerjasama tersebut.

“Kalau kamu kata MN itu gagal, maka tidak perlu takut jika kami mahu menghidupkannya semula,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap pihak berhak meneruskan agenda politik masing-masing, sambil menekankan bahawa Pemuda Umno akan terus memperjuangkan penyatuan ummah sebagai keutamaan.

“Kamu teruskan agenda kamu, kami pula dengan penyatuan kami. Jangan takut,” katanya lagi.

Kenyataan Akmal itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan Khoo Poay Tiong yang mempersoalkan identiti dan peranan Ketua Pemuda Umno itu, selain mendakwa Akmal sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan telah lantang menyuarakan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Khoo sebelum ini turut menyifatkan usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional sebagai percaturan politik semata-mata dan bukannya berasaskan prinsip, selain menyatakan gabungan tersebut telah gagal sebelum ini.

Pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin itu mencerminkan ketegangan yang semakin ketara antara Umno dan DAP, meskipun kedua-dua parti berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri tertentu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat