KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh akui terkejut membaca tulisan Minda Presiden Pas bertajuk “tempias Dajjal sudah tiba”oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sebagai pendekatan Dajjal, malah mengaitkannya dengan sifat-sifat Dajjal.
Bagi Fuziah, kenyataan sebegini sangat ekstrem dan keterlaluan.
“Kita sedang membincangkan sebuah mekanisme persefahaman politik, bukannya persoalan akidah atau keimanan seseorang.
“Sejak bila perbezaan pendekatan politik perlu diheret sehingga dikaitkan dengan Dajjal?
“Hadi berhujah bahawa kerajaan wajib berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mensyaratkan sokongan politik. Prinsip keadilan itu tidak dipertikaikan.
“Namun, apakah asas untuk mengaitkan sebuah perjanjian politik yang dicapai melalui rundingan dengan sifat-sifat Dajjal? Adakah perbezaan pandangan terhadap sesuatu dasar sudah cukup untuk menggunakan gambaran keagamaan seberat itu? soal Fuziah yang Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ironinya kata Fuziah, dalam tulisan tersebut beliau sendiri memetik Surah al-Ma’idah ayat 8 yang mengingatkan agar kebencian terhadap sesuatu kaum tidak mendorong kita berlaku tidak adil. Bukankah prinsip yang sama sepatutnya menjadi panduan ketika menilai pihak yang berbeza pandangan politik?
“Sebagai seorang tokoh agama dan pemimpin politik, setiap ungkapan Abdul Hadi membawa pengaruh besar kepada masyarakat.
“Apabila istilah Dajjal digunakan dalam pertikaian politik, ia boleh membentuk persepsi bahawa pihak yang berbeza pendekatan bukan sekadar salah dari sudut politik, tetapi seolah-olah membawa kejahatan dari sudut agama,” katanya.
Justeru Fuziah mengingatkan Hadi untuk mengkritik CSA berdasarkan fakta, kandungan dan pelaksanaannya.
“Jangan sampai kerana perbezaan politik, istilah agama digunakan untuk menggambarkan pihak lain sebagai pembawa kejahatan.
“Politik memerlukan hujah dan kematangan, bukannya retorik keagamaan yang boleh menyuburkan kebencian dan perpecahan,” tegas Fuziah.


