Halimah Tetap Sokong BN Meskipun Tidak Dicalonkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique akan terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) meskipun tidak tersenarai sebagai calon di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Perpaduan Negara itu berkata beliau akur dengan keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti berhubung senarai calon yang diumum gabungan politik berkenaan pada 1 Nov lepas.

Katanya beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bertanding sebagai calon bebas sebaliknya akan turut turun padang bagi membantu BN dalam kempen PRU15.

“Saya bakal turun bantu kawan-kawan lain yang bertanding atas tiket BN, sebagai Wanita BN hati kami besar (terhadap BN),” katanya selepas merasmikan program Galeri Uniti Keluarga Malaysia di Berjaya Times Square di sini hari ini.

Pada pengumuman calon BN Selasa lepas, Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan empat menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk Halimah digugurkan sebagai calon PRU15.

Turut digugurkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara).

Dalam pada itu, Halimah turut menitipkan pesan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertanding di Parlimen Kota Tinggi untuk berusaha menambat hati pengundi di kawasan berkenaan.

“Saya yakin pengundi dalam Parlimen Kota Tinggi akan memberi sokongan padu bagi memenangkan calon BN di sana,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian PRU15, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada esok manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat