TEHRAN – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mendesak Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Eropah meninggalkan Asia Barat, ketika Tehran bersiap sedia berdepan kemungkinan serangan Israel terhadap tapak nuklearnya.
Ayatollah menegaskan kehadiran AS dan sekutunya di Asia Barat adalah punca kepada konflik, peperangan dan permusuhan.
Ayatollah membuat penampilan pertamanya di khalayak ramai kelmarin, sejak mengarahkan serangan peluru berpandu berisiko tinggi ke Israel sebagai tindak balas kepada serangan rejim terhadap pemimpin Hezbollah.
“Iran masih berkabung atas pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah.
“Tetapi itu tidak bermakna kami tertekan dan hanya duduk berdiam diri,” katanya dalam pertemuan dengan pelajar dan saintis di Tehran, kelmarin.
Serangan Iran turut disokong elit politik negara itu yang sebelum ini berpecah-belah kerana menyifatkan serangan ke Israel tidak dapat dielakkan untuk memulihkan kedaulatan Iran.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi membuat seruan diplomatik termasuk kepada menteri luar Eropah, menegaskan Iran tidak mahu mencetuskan konflik baharu dan sasaran mereka adalah tentera, bukan orang awam seperti dilakukan Israel di Lubnan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Iran, Aziz Nasirzadeh turut menggesa Eropah untuk membendung Israel daripada meneruskan keganasan di Lubnan atau berdepan tindak balas yang boleh mengheret Asia Barat memasuki perang besar.
Pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York, Iran dijangka mempertahankan tindakannya selaras dengan Piagam PBB.
Ketua Kakitangan Am Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagher berkata, peluru berpandu itu menyasarkan pangkalan udara Israel, termasuk pangkalan Nevatim yang menempatkan pesawat F35 serta ibu pejabat Mossad.
Sementara itu, Menteri Strategik, Javad Zarif yang paling enggan menyokong tindak balas tentera, bagaimanapun tidak berbelah bahagi dalam menyokong serangan itu.
“Kemunafikan Barat bukan sahaja keterlaluan, tetapi amat berbahaya. Negara-negara Barat membantu dan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan akur dalam pencerobohan Israel terhadap Iran, Palestin, Lubnan, Syria, Yaman dan negara-negara lain di rantau ini.
“Iran mempunyai hak untuk mempertahankan diri terhadap serangan bersenjata Israel yang berulang kali terhadap wilayah Iran dan rakyatnya. Israel dan sekutunya perlu bertanggungjawab terhadap semua akibat daripada provokasi berterusan Israel,” katanya.