Oleh Zihan Zari
SERDANG – Kejayaan sesebuah industri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber yang dimiliki, sebaliknya bergantung kepada keupayaan untuk mencipta nilai daripada sumber tersebut, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Sri Norazman Ayob.
Norazman berkata, penciptaan nilai merangkumi proses daripada bimbingan dan pembangunan kemahiran usahawan, penambahbaikan produk, penjenamaan serta pembungkusan sehingga produk berjaya memasuki pasaran.
“Kerajaan sentiasa percaya bahawa kejayaan sesebuah industri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber yang dimiliki, tetapi bergantung kepada sejauh mana kita mampu mencipta nilai daripada sumber tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival myAgroprenuer Perikanan dan myKomuniti Perikanan Kebangsaan di Laman Agrofood Fisheries sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain; dan Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Nazri Ishak.
Dalam perkembangan sama, MAHA 2026 menjadi pentas nasional kepada 10 usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) terpilih dari seluruh negara menerusi Karnival myAP dan myKP Kebangsaan 2026.
DOF dalam kenyataan berkata, usahawan yang diketengahkan terdiri daripada perusahaan yang telah mencapai tahap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 3 dan ke atas, dengan nilai purata pengeluaran tahunan sehingga RM1 juta.
“Penganjuran karnival ini memberi peluang kepada usahawan bimbingan DOF untuk memperkenalkan pelbagai produk hiliran dan inovasi berasaskan hasil perikanan tempatan kepada pengunjung MAHA, di samping memperluas jaringan perniagaan dan akses pasaran,”menurut kenyataan itu.
“Karnival ini merupakan kemuncak kepada penganjuran Karnival myAP dan myKP Zon Timur serta Zon Selatan yang sebelum ini menghimpunkan 40 usahawan bimbingan
DOF.
“Selaras dengan tema MAHA 2026, ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ karnival ini memberi penekanan kepada usaha meningkatkan nilai hasil perikanan melalui pembangunan keusahawanan, inovasi, pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk, ”menurutnya lagi.
Katanya, sehingga 2026, seramai 779 usahawan myAP telah berdaftar di bawah DOF , manakala 253 myKP telah ditubuhkan dengan penyertaan 6,500 ahli komuniti perikanan di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 34 peratus (%) usahawan dan komuniti perikanan bimbingan Jabatan telah mencapai tahap PKS 3 dan PKS 4, dengan nilai pengeluaran tahunan antara RM150,000 hingga RM1 juta.
“Turut menjadi tumpuan ialah pelancaran produk inovasi Pusat Pengembangan Teknologi Perikanan (PPTP) yang dibangunkan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan berjaya dikomersialkan oleh usahawan bimbingan jabatan.
“Sebanyak tujuh PPTP di seluruh negara menyediakan sokongan teknikal, bimbingan, pemindahan teknologi dan pembangunan inovasi kepada usahawan serta komuniti perikanan.
“Bagi tujuan tersebut, DOF telah memperuntukkan RM578,519 di bawah RMK-12 dan RM80,000 di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), ”katanya lagi.
Ujarnya, pelancaran produk inovasi tersebut memperlihatkan hasil pemindahan teknologi daripada DOF kepada usahawan sehingga berjaya diterjemahkan kepada produk komersial.
Usaha ini meningkatkan nilai tambah hasil perikanan tempatan serta membuka peluang pasaran dan pendapatan yang lebih luas kepada usahawan.
Dalam majlis yang sama, DOF turut menyampaikan cek cura bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) Pengembangan 2026 berjumlah RM1.12 juta kepada 43 penerima myAP dan 11 penerima myKP.
Turut disampaikan bantuan Touch Point 2026 berjumlah RM348,336 kepada 38 penerima myAP, 125 penerima myKP, 34 penerima Ketua Jaringan Perikanan (KJP), 113 penerima nelayan darat dan 109 penerima nelayan laut.
Penganjuran karnival ini di MAHA 2026 memperlihatkan hasil bimbingan DOF dalam membangunkan usahawan, mengangkat inovasi serta meningkatkan nilai komersial produk berasaskan perikanan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada produk tempatan untuk berkembang dalam pasaran. – SUARA.TV



