KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan keputusan menamatkan prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.
Dalam kenyataan media hari ini, Rayer berkata usaha kerajaan mempergiatkan tindakan terhadap rasuah perlu dilaksanakan berdasarkan satu standard yang sama kepada semua pihak, termasuk pemimpin politik yang sedang memegang jawatan.
Beliau menyambut baik tindakan kerajaan terhadap beberapa bekas pemimpin kanan politik yang didakwa atas kesalahan berkaitan rasuah, sambil menyifatkannya sebagai penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi serta prinsip bahawa tiada individu yang berada di atas undang-undang.
Bagaimanapun, Rayer mempersoalkan mengapa terdapat perbezaan pendekatan terhadap kes Zahid.
“Kerajaan Madani mesti menjawab persoalan asas mengapa perlu ada standard berbeza apabila melibatkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?” katanya.
Zahid sebelum ini berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi dan kes berkenaan telah melalui perbicaraan yang panjang.
Prosiding itu bagaimanapun dihentikan selepas pihak pembelaan dipanggil.
Rayer berkata, pada Januari 2026, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap perkara berkenaan dan menyifatkan kes itu sebagai telah selesai.
Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan mengenai sebab sesetengah kes berkaitan dakwaan rasuah diteruskan secara agresif, manakala kes Zahid ditamatkan.
“Ini bukan mengenai mengisytiharkan sesiapa bersalah. Ia mengenai kesamarataan di sisi undang-undang, konsistensi dalam pendakwaan dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran keadilan,” katanya.
Rayer turut menggesa Peguam Negara mempertimbangkan semula keputusan berhubung 47 pertuduhan tersebut serta mendedahkan sebanyak mungkin alasan perundangan dan asas keterangan yang boleh didedahkan mengikut undang-undang.
Katanya, sekiranya bukti dan keadaan perundangan mengizinkan, langkah sewajarnya perlu diambil untuk menghidupkan semula atau meneruskan perkara itu mengikut undang-undang.
Beliau turut berkata Peguam Negara perlu menangani kebimbangan awam berhubung apa yang didakwanya sebagai perbezaan ketara antara tindakan agresif kerajaan terhadap kes rasuah lain dengan penutupan kes Zahid selepas pihak pembelaan dipanggil.
“Memerangi rasuah tidak boleh dilakukan secara terpilih. Keadilan tidak boleh berpihak. Kedaulatan undang-undang tidak boleh bergantung kepada siapa pelakunya,” katanya.
Rayer berkata sekiranya kerajaan benar-benar mahu meyakinkan rakyat bahawa era pendakwaan terpilih sudah berakhir, prinsip itu perlu ditunjukkan secara konsisten, termasuk dalam kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri.
“Tiada standard berganda. Tiada pendakwaan terpilih,” katanya.



