Anker Innovations yang selama ini cukup dikenali menerusi produk pengecasan seperti pengecas, kabel dan power bank kini memasuki satu fasa baharu apabila syarikat teknologi berkenaan mengumumkan penyatuan lima jenamanya di bawah satu nama, Anker, selepas hampir 15 tahun membina kedudukan dalam industri teknologi pengguna di seluruh dunia.
Perubahan tersebut menyaksikan Anker, eufy, soundcore, SOLIX dan eufyMake akan bergerak secara berperingkat di bawah nama Anker, sekali gus memberikan wajah baharu kepada kumpulan teknologi yang kini mempunyai lebih 200 juta pelanggan di lebih 180 negara dan wilayah. Walaupun setiap jenama sebelum ini mempunyai peranan tersendiri dalam kategori masing-masing, perkembangan teknologi yang semakin menghubungkan pelbagai jenis produk menyebabkan Anker melihat sudah tiba masanya kesemuanya diperkenalkan kepada pengguna menerusi satu nama yang sama.
Sejak penubuhannya pada 2011, Anker pada asalnya membina reputasi menerusi produk berkaitan bateri dan pengecasan, namun dalam tempoh hampir 15 tahun, syarikat tersebut berkembang ke pelbagai bidang termasuk audio, keselamatan rumah, robotik, tenaga, kesihatan dan teknologi kreatif. Perjalanan itu menyebabkan nama-nama seperti soundcore dan eufy turut menjadi begitu dekat dengan pengguna, khususnya dalam kategori fon telinga, fon kepala, kamera keselamatan dan produk rumah pintar.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Anker Innovations, Steven Yang, melihat pembahagian jenama mengikut kategori mungkin sesuai ketika setiap bidang teknologi bergerak secara berasingan, tetapi keadaan hari ini sudah berubah apabila satu produk boleh mempunyai kaitan dengan beberapa teknologi pada masa yang sama. Atas sebab itu, syarikat tersebut mahu membawa semua kepakaran berkenaan di bawah satu nama supaya pengguna tidak lagi perlu memikirkan jenama berbeza ketika mencari produk untuk keperluan yang saling berkait antara satu sama lain.
Dalam struktur baharu yang diperkenalkan, Anker akan membahagikan produk kepada dua kumpulan utama iaitu Anker For You dan Anker For Home, dengan kumpulan pertama memberi tumpuan kepada teknologi yang digunakan dalam kehidupan seharian termasuk pengecasan, audio, kesihatan diri dan produk kreatif, manakala Anker For Home pula merangkumi teknologi untuk rumah seperti sistem keselamatan, rumah pintar dan robotik yang bertujuan membantu mengurangkan tugasan harian di kediaman.
Penyatuan itu bagaimanapun tidak bermakna semua produk yang berada di pasaran akan berubah nama dalam satu masa, sebaliknya Anker akan melaksanakan proses tersebut secara berperingkat dengan produk baharu menjadi antara yang terawal menggunakan nama Anker, sementara produk sedia ada akan melalui perubahan secara beransur-ansur. Pengguna yang sudah memiliki produk daripada Anker, eufy atau soundcore juga tidak perlu bimbang mengenai sokongan selepas jualan kerana syarikat itu mengesahkan jaminan, khidmat pelanggan dan perkhidmatan selepas jualan akan diteruskan seperti biasa.
Dalam masa sama, Anker kini semakin memberi perhatian kepada penggunaan kecerdasan buatan yang diproses terus pada produk menerusi cip proprietarinya, THUS™, yang diperkenalkan sebelum ini dan kini mula digunakan dalam rangkaian produk baharu. Cip tersebut direka untuk membolehkan pemprosesan AI dilakukan terus pada produk, pendekatan yang membolehkan beberapa fungsi pintar dijalankan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pemprosesan dari luar.
Teknologi berkenaan antara lain digunakan dalam Anker soundcore AeroClip 2, fon telinga dengan reka bentuk klip yang membolehkan pengguna menikmati audio sambil masih mendengar bunyi persekitaran. Reka bentuk terbuka seperti itu memberikan kelebihan kepada mereka yang banyak menghabiskan masa di luar rumah kerana pengguna masih boleh mendengar bunyi kenderaan, perbualan orang di sekeliling atau pengumuman di lapangan terbang tanpa perlu menanggalkan fon telinga.
AeroClip 2 menggunakan sistem enam sensor yang menggabungkan empat mikrofon MEMS dengan dua unit pengambilan suara yang mengesan getaran daripada tubuh pengguna, khususnya getaran yang terhasil daripada pita suara. Pendekatan tersebut membantu sistem mengenal pasti suara pengguna dengan lebih baik sambil mengurangkan gangguan daripada bunyi di sekeliling, sekali gus menjadikan pengalaman menerima panggilan lebih sesuai untuk keadaan yang tidak begitu sunyi seperti pejabat, jalan raya, lapangan terbang atau ketika melakukan perjalanan.
Selain AeroClip 2, Anker turut memperkenalkan Space 2 Pro yang merupakan fon kepala over-ear dengan sehingga 30 jam penggunaan bersama fungsi pembatalan hingar aktif, manakala Liberty Buds 2 hadir dengan sistem lapan sensor yang direka untuk memberikan kualiti panggilan suara yang lebih jelas. Perkembangan dalam kategori audio itu menunjukkan bagaimana Anker mahu menggabungkan pengalaman yang telah dibina melalui soundcore dengan teknologi AI yang dibangunkan sendiri.
Fokus kepada pengalaman pengguna turut diperluaskan kepada waktu tidur apabila Anker memperkenalkan Sleep 4 dan Sleep 4 Pro, yang direka untuk membantu mengurangkan bunyi gangguan ketika pengguna berehat. Model Pro dilengkapi sistem Track-Assess-Adjustment yang menyesuaikan audio berdasarkan keadaan tidur pengguna, manakala SleepLab dan SleepLab Pro pula membawa pendekatan berbeza menerusi pembesar suara di sisi katil yang mempunyai lampu malam serta bunyi khusus untuk membantu suasana tidur.
SleepLab Pro turut menggunakan radar 60GHz bagi mengesan keadaan tidur pengguna sebelum memainkan audio yang disesuaikan, sekali gus membolehkan pengalaman tersebut digunakan tanpa pengguna perlu memakai fon telinga ketika tidur. Langkah itu menunjukkan bahawa Anker melihat teknologi audio bukan sekadar untuk mendengar muzik atau menjawab panggilan, tetapi boleh digunakan dalam pelbagai rutin harian yang lebih luas.
Walaupun memperkenalkan banyak kategori baharu, pengecasan masih menjadi antara bahagian penting dalam perjalanan Anker dan perkara itu jelas melalui beberapa produk terbaharu yang diumumkan. Anker MagGo Power Bank 2 Pro misalnya membawa sistem pengecasan magnetik Qi2.2 sehingga 25W dan menjadi antara power bank magnetik pertama yang dilengkapi kipas penyejuk terbina dalam, dengan Anker mendakwa teknologi tersebut membantu mengawal haba sepanjang proses pengecasan.
Power bank berkenaan dikatakan mampu mengecas iPhone 17 Pro sehingga 50 peratus dalam kira-kira 25 minit, manakala unit itu sendiri boleh dicas sehingga 80 peratus dalam masa sekitar 52 minit. Sistem penyejukannya menggunakan kipas, saluran udara berkembar dan lapisan graphene untuk membantu mengurangkan peningkatan suhu, sementara skrin terbina dalam memberikan maklumat seperti kuasa pengecasan, suhu, tahap bateri dan anggaran masa yang masih diperlukan.
Anker Nano Charger pula direka untuk pengguna yang mahukan pengecas berkuasa tetapi tidak mahu membawa pengecas besar, dengan sokongan pengecasan sehingga 45W serta skrin yang menunjukkan maklumat berkaitan kuasa, tahap bateri dan suhu. Pengecas tersebut turut mempunyai Care Mode yang menggunakan kadar pengecasan pada suhu lebih rendah bagi membantu mengurangkan kadar penuaan bateri, manakala saiznya dikatakan 47 peratus lebih kecil dan 36 peratus lebih ringan berbanding pengecas 40W asal.
Bagi pengguna yang banyak melakukan perjalanan ke luar negara, Anker Nano Universal Charger pula menawarkan palam antarabangsa terbina dalam yang menyokong lebih 200 negara dan wilayah, selain keupayaan mengecas sehingga empat produk pada masa sama. Dalam keadaan seseorang perlu membawa telefon pintar, komputer riba, tablet, jam pintar dan fon telinga ketika bekerja atau bercuti, satu pengecas yang mampu mengurus beberapa produk serentak tentunya boleh mengurangkan jumlah barangan yang perlu dimasukkan ke dalam beg.
Anker turut memperkenalkan MagStand Charging Station yang menggabungkan pad pengecasan magnetik Qi2 25W, kabel boleh tarik dan port USB-C tersembunyi dalam satu stesen pengecasan untuk meja atau sisi katil. Teknologi SnapCool digunakan bagi membantu mengawal suhu, manakala Care Mode direka untuk mengurus proses pengecasan pada waktu malam supaya bateri tidak menerima pengecasan penuh terlalu awal.
Dalam kategori produktiviti pula, Anker memperkenalkan Desktop USB-C Hub yang menyokong sehingga 240Hz serta mempunyai paparan bersaiz dua inci untuk menunjukkan maklumat berkaitan kuasa, suhu dan status port. Bagi mereka yang bekerja dengan beberapa skrin, komputer riba dan aksesori USB-C setiap hari, konsep sebegini menunjukkan bagaimana Anker cuba membawa teknologi pengecasan dan sambungan keperluan kerja ke satu tahap yang lebih praktikal.
Pada masa sama, syarikat tersebut turut memperluaskan produk kepada kesihatan diri dan penjagaan keluarga menerusi Anker eufy Wearable Breast Pump S2 Pro dan Anker eufy Bottle Washer S1 Pro. Pam susu berkenaan menggunakan teknologi VibraPump™ dan HeatFlow™ 2.0 dalam reka bentuk tanpa wayar, selain boleh dikawal melalui aplikasi eufy, manakala Bottle Washer S1 Pro direka untuk mencuci, mengeringkan dan mensterilkan botol bayi menggunakan sistem semburan 3D HydroBlast™ lima lapisan, pengeringan dua kipas serta fungsi pensterilan wap.
Jika Anker For You lebih banyak berkisar tentang produk yang digunakan oleh seseorang sepanjang hari, Anker For Home pula membawa syarikat tersebut ke satu kawasan yang lebih besar iaitu rumah yang boleh mengurus sebahagian daripada tugasan hariannya sendiri. Antara pengenalan paling penting dalam kategori ini ialah Anker MindBase™, sebuah hab AI yang direka untuk menghubungkan pelbagai produk di dalam rumah, menjalankan pemprosesan AI secara tempatan dan menyimpan data rumah secara tempatan.
MindBase dibina berdasarkan tiga perkara utama iaitu hubungan antara produk, kecerdasan yang diproses secara tempatan dan ruang simpanan untuk data. Melalui EasyOmni™ Link, produk Anker dan produk daripada jenama lain yang menyokong Matter boleh disambungkan kepada satu sistem rumah, selain boleh digunakan bersama platform seperti Apple HomeKit, Amazon Alexa, Google Assistant dan Home Assistant.
Sistem TrueSmart™ Agent pula membolehkan MindBase menggunakan AI untuk tugasan tertentu dalam rumah menerusi agen khusus seperti NAS Agent dan Security Agent, manakala EverSafe™ Memory menyediakan ruang simpanan tempatan untuk menyimpan gambar keluarga, rakaman kamera serta data lain tanpa semuanya perlu bergantung kepada storan awan.
Produk pertama yang menggunakan MindBase ialah Anker MindBase Security Kit, sementara Anker turut memperkenalkan beberapa produk keselamatan baharu seperti Anker eufy TrackLight Cam S1 dan Video Doorbell S4. TrackLight Cam S1 menggabungkan kamera telefoto 4K dengan lampu yang boleh mengekori individu yang dikesan, manakala Video Doorbell S4 menawarkan pandangan panoramik 180 darjah untuk membantu mengurangkan kawasan yang tidak kelihatan di hadapan rumah.
Bagi pengguna yang sudah menggunakan HomeBase S380, Anker turut menyediakan laluan untuk memindahkan rakaman sedia ada ke hab MindBase baharu, sekali gus memberikan pilihan kepada pemilik sistem lama untuk beralih kepada platform baharu tanpa perlu meninggalkan semua data terdahulu.

Dalam kategori robotik, Anker eufy Robot Vacuum Omni E35 pula hadir dengan kuasa sedutan 35,000Pa dan sistem HydroJet 2.0 Self Cleaning Roller Mop yang direka untuk membersihkan lantai dengan lebih menyeluruh. Robot berkenaan turut menerima pensijilan TÜV sebagai “Maternal and Infant Cleaning Robot” berdasarkan beberapa aspek termasuk penghapusan bakteria, tahap bunyi, prestasi pembersihan dan keupayaan membersihkan dirinya sendiri.
Perkembangan Anker juga tidak berhenti di situ apabila syarikat berkenaan mengumumkan rancangan untuk memasuki bidang kesihatan pendengaran menerusi alat bantuan pendengaran yang menggunakan cip THUS™ AI. Pengalaman yang diperoleh melalui pembangunan fon telinga dan fon kepala, khususnya dalam pengurangan bunyi bising, penggunaan bateri dan pengecasan pantas, akan digunakan sebagai asas kepada kategori baharu tersebut, dengan maklumat lanjut dijangka diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Kesemua perkembangan ini akhirnya akan sampai ke pasaran Malaysia secara berperingkat, dengan produk baharu yang diperkenalkan pada IFA dijangka mula diperkenalkan kepada pengguna tempatan sepanjang tahun ini. Anker juga sedang mengembangkan rangkaian butik jenamanya di beberapa pusat beli-belah utama di negara ini, dengan konsep kedai yang membolehkan pengguna mencuba produk, melihat sendiri cara ia berfungsi serta mendapatkan bantuan berkaitan produk di lokasi yang sama.
Sebagai tanda permulaan kepada wajah baharu jenama tersebut di Malaysia, Anker Malaysia akan mengadakan pelancaran rasmi di Sunway Pyramid pada pertengahan Oktober, yang dijangka turut memperkenalkan strategi baharu syarikat untuk pasaran tempatan selain meraikan pembukaan butik baharu dan memperlihatkan rangkaian produk terbaharunya kepada pengguna.
Bagi pengguna yang sudah lama mengenali nama Anker, soundcore dan eufy, perubahan ini pastinya mengambil sedikit masa untuk dibiasakan kerana setiap nama tersebut sudah mempunyai identiti tersendiri dalam kategori masing-masing. Namun, dari sudut pengguna, idea yang dibawa Anker sebenarnya agak mudah untuk difahami kerana syarikat itu mahu satu nama yang sama berada di sebalik lebih banyak produk yang digunakan dalam kehidupan harian.
Daripada pengecas yang memastikan telefon pintar kekal mempunyai kuasa, fon telinga yang menemani perjalanan ke tempat kerja, kamera yang memerhatikan keadaan rumah, robot yang membantu membersihkan lantai, hinggalah sistem AI yang mengurus data dan keselamatan kediaman, kesemuanya akan semakin dekat dengan satu nama iaitu Anker.
Selepas hampir 15 tahun bermula dengan bateri dan pengecasan, Anker kini mahu bergerak lebih jauh dengan membawa pengalaman teknologinya ke pelbagai sudut kehidupan pengguna. Apa yang dahulu bermula sebagai jenama untuk memastikan telefon tidak kehabisan bateri kini berkembang menjadi sebuah syarikat yang mahu berada di meja kerja, di dalam beg, di bilik tidur dan di seluruh ruang rumah.
Perubahan itu mungkin kelihatan seperti penyatuan nama pada peringkat awal, tetapi apa yang sedang berlaku sebenarnya jauh lebih besar daripada sekadar logo baharu pada produk. Anker sedang cuba membina satu identiti yang boleh dikenali pengguna setiap kali mereka mencari teknologi untuk kegunaan harian, sama ada untuk diri sendiri ataupun untuk rumah mereka.
Dan untuk pasaran Malaysia, perubahan itu bakal menjadi semakin jelas mulai tahun ini apabila lebih banyak produk baharu Anker mula berada di pasaran dan pengguna berpeluang melihat sendiri sejauh mana satu nama boleh merangkumi begitu banyak kategori teknologi yang berbeza.



