KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal untuk menentukan siapa calon Ketua Menteri Sabah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang secara terbuka meminta pengundi negeri itu mempertimbangkannya sebagai calon Ketua Menteri.
Menurut Khaled, parti belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan semua pihak seharusnya menghormati proses serta perbincangan dalaman Umno.
“Parti belum buat keputusan. Saya ingat semua orang berhasrat untuk jadi pemimpin tertinggi tetapi itu pun jawapan yang berasaskan kepada soalan sebagainya. Tapi soal itu terlalu awal, premature. Itu sahaja saya boleh kata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas menghadiri program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Katanya, walaupun setiap pemimpin mempunyai aspirasi masing-masing, namun ia bukanlah tiket automatik untuk diangkat sebagai calon Ketua Menteri.
Khaled menegaskan, keutamaan Umno pada masa ini memastikan jentera parti di Sabah benar-benar bersiap sedia menghadapi PRN berbanding membincangkan soal siapa bakal mengetuai kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Khaled menegaskan, isu berkenaan masih terlalu awal untuk dibicarakan.
“Tapi soal itu terlalu awal, belum masanya. Itu sahaja saya boleh kata,” katanya lapor MalaysiaGazette di Serdang pada Khamis.
Kenyataan itu memberi gambaran Umno masih belum menetapkan pendirian rasmi mengenai calon Ketua Menteri di negeri itu.
Bung Moktar pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya Sabah antara 2020 hingga 2023 namun digugurkan daripada Kabinet negeri selepas krisis politik Langkah Kinabalu pada Januari 2023.
Krisis itu tercetus apabila Barisan Nasional (BN) Sabah yang diketuai beliau menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sekaligus menyebabkan ketegangan dalam politik negeri.
Sejak itu, Bung Moktar terus menjadi figura penting dalam percaturan politik Sabah meskipun berdepan cabaran termasuk kes rasuah berjumlah RM2.8 juta yang masih berjalan di mahkamah.



