KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung isu Titah Addendum.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati Najib gagal membuktikan kes prima facie untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap responden (Terrirudin).
“Dengan itu, permohonan kebenaran untuk komital ditolak,” katanya.
Permohonan kebenaran komital difailkan bekas Perdana Menteri itu berhubung tindakan Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam permohonan semakan kehakiman membabitkan Titah Adendum.
Asas permohonan itu ialah salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, yang diperoleh daripada Pejabat Sultan Pahang.
Beliau mendakwa melalui peguam kanannya Tan Sri Shafee Abdullah, bahawa Terrirudin mempunyai pengetahuan peribadi tentang Titah Addendum berkenaan, setelah diserahkan kepadanya semasa beliau menjawat jawatan peguam negara dari September 2023 hingga November 2024.
Shafee memberitahu mahkamah bahawa beliau akan merayu keputusan itu di mahkamah yang lebih tinggi.



