KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, pihak pendakwaan berprasangka jahat terhadapnya ketika menyatakan beliau mengetahui akan menerima habuan apabila pelaburan RM150 juta wang Felcra Berhad dalam Public Mutual berjaya diluluskan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tidak benar beliau menggunakan pengaruh dan jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra untuk memastikan pelaburan tersebut berjaya bagi membolehkan beliau dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad mendapat wang RM2.8 juta.
Menjawab soalan balas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Fadhly Mohd Zamry, beliau menafikan bahawa tanpa penglibatan aktifnya, pelaburan Felcra tidak mungkin berjaya dilakukan.
Beliau turut tidak bersetuju nilai pelaburan melebihi RM100 juta perlu dibawa kepada pengetahuan dan seterusnya persetujuan pengurusan tertinggi Felcra.
Pendakwa: Datuk Seri setuju bahawa sepanjang soalan saya tadi, Datuk Seri memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaburan RM150 juta Felcra dalam Public Mutual berjaya dilaksanakan?
Bung Moktar: Tidak setuju, itu sangkaan jahat.
Pendakwa: Datuk Seri setuju bahawa segala tindakan yang dilakukan adalah di luar skop dan bidang tugas Datuk Seri sendiri, tanpa kebenaran bertulis ahli lembaga pengarah (BoD) Felcra?
Bung Moktar: Tidak setuju.
Pendakwa: Setuju dengan saya bahawa segala tindakan yang dibuat adalah untuk memastikan kepentingan Datuk Seri dan isteri?
Bung Moktar: Tidak setuju.
Bung Moktar menyatakan demikian ketika membela diri terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, lapor MalaysiaGazette pada Khamis.
Terdahulu, menjawab soalan balas TPR Law Chin How, Bung Moktar berkata, beliau tidak melaporkan kepada pengurusan tertinggi Felcra bahawa isterinya menerima RM2.8 juta kerana tiada keperluan berbuat demikian.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak melaporkan kepada ahli BoD Felcra berhubung perkara itu kerana tiada kepentingan untuk melakukannya atas alasan kes ketika itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut pemimpin Umno Sabah itu, sebarang keputusan BoD Felcra akan ditentukan oleh menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Menurut pertuduhan, Bung Moktar, 66, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 47, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 24 September ini.



