Bukan sekadar fizikal

- Advertisement -

PENCARIAN Hero Remaja anjuran Nu Ideaktiv Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Ria kembali untuk edisi ke-11 tahun ini dengan misi mencungkil pelapis bakat baharu industri seni di samping menjadi suara baharu kelompok remaja di Malaysia.

Sejak dianjurkan bermula 1990/1991, industri seni tanah air sudah diwarnai dengan kehadiran finalis Hero Remaja daripada generasi berbeza.

Kini, Hero Remaja 2021 bukan hanya pakej paras rupa dan fizikal positif yang dicari, ia juga kekal menjadi platform nombor satu bagi mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti berkaliber ke peringkat seterusnya.

Ramai nama-nama besar yang dilahirkan daripada pencarian Hero Remaja rata-ratanya sudah mengharumkan jenama.

Antaranya juara sulung, Esma Daniel yang kekal relevan sebagai pelakon dihormati, Zed Zaidi yang kini menaungi Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Kamal Adli dan Fattah Amin yang pernah mengungguli gelaran Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

Ini termasuk Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Fizo Omar, Syafiq Kyle, Saharul Ridzwan, Ben Amir, Meerqeen, Jabir Meftah, Harris Annuar dan ramai lagi.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, selaku penganjur bersama dan penyiar rasmi program Hero Remaja 2021, umum pastinya tahu mengenai kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh sektor termasuklah industri penyiaran akibat penularan Covid-19 hampir dua tahun ini.

“Namun, melihat dari sudut positif, ia mendorong kami melipatgandakan usaha secara lebih kreatif, inovatif dan proaktif agar misi penting yang lebih mustahak iaitu membawakan kandungan hiburan berkualiti secara berterusan dapat dijayakan.

“Untuk mencapai sasaran itu, kami perlu lebih peka kepada perubahan dan transformasi yang berlaku bagi menyesuaikan diri dengan proses adaptasi norma baharu agar kekal relevan,” katanya.

Selain itu, menganjurkan pertandingan pencarian bakat berkonsepkan realiti seperti Hero Remaja 2021 pada era yang serba mencabar ini juga menuntut dedikasi dan komitmen tinggi daripada semua pihak, baik yang terbabit secara langsung mahupun tidak.

Untuk edisi kali ini, seramai 12 finalis sudah dipilih dan mereka akan melalui cabaran yang ditetapkan setiap minggu sebelum seorang daripada mereka akan diangkat sebagai juara.

Mereka yang terpilih ialah Afiq Hamidon, 20 (Selangor), Alif Haiqal, 21 (Kuala Lumpur), Amir Ahnaf, 21 (Terengganu), Aryan Naim, 24, (Negeri Sembilan), Aqil Taqee, 22 (Kuala Lumpur), Farhan Nordin, 23, (Johor), Fazziq Muqris, 21 (Selangor), Ideen Azman, 21 (Melaka), Mierul Aiman, 23 (Putrajaya), Syazani Zainal, 19 (Selangor), Zaid Erakad, 23 (Selangor) dan Zaim Yazid, 22 (Selangor).

Program pencarian Hero Remaja 2021 akan menemui penonton selama lapan episod setiap Sabtu jam 9 malam mulai 11 September ini.

Ia turut menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai pasangan hos.

Selain itu, juara Dewi Remaja 2005/2006 iaitu Scha Alyahya juga akan kembali ke kerusi Juri Tetap.

Kali ini, Scha akan bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor yang dipilih berdasarkan pengalamannya dalam industri hiburan tanah air.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat