Pesalah Seleweng Projek LCS Takkan Terlepas Begitu Saja, Tunggu Pendakwaan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Penyelewengan dan kesalahan yang dikesan dalam projek Littoral Combat Ship atau Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) akan berdepan pendakwaan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, beliau konsisten menegaskan siapa jua yang bersalah tetap bersalah.

“Siasatan SPRM masih sedang berjalan dan ini bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini tidak akan terlepas begitu sahaja.

” Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sendiri telah mengesyorkan supaya SPRM mempercepatkan siasatan dan menyegerakan pendakwaan.

“Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan,” tegas Hishammuddin dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, melangkah ke hadapan, perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan projek LCS ini dapat diteruskan dengan lancar.

Kata Hishammuddin, LCS aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara, sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5, dan demi kepentingan TLDM.

” Saya ambil maklum dapatan laporan PAC mengenai projek LCS yang dikeluarkan tengahari tadi. Kami sendiri di pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus semasa menghadiri prosiding-prosiding serta proses siasatan yang dilakukan PAC.

” Reaksi awal saya berhubung perkara ini adalah MINDEF serta semua pemegang taruh (stakeholders) akan meneliti laporan tersebut secara terperinci dan semestinya akan mengambil kira kesemua syor yang dikemukakan PAC dalam meneruskan projek LCS selepas ini,” jelas beliau.

Seperti dimaklumkan pada April lalu, Kabinet juga telah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM dan vendor seterusnya memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kata Hishammuddin.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MOF) serta Ketua Setiausaha MINDEF.

” Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi dalam tempoh enam (6) bulan ini dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet,” ujarnya lagi.

Pada Januari lepas, SPRM telah menahan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bernilai RM9 bilion.

Jurucakap SPRM, berkata kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Malah difahamkan dengan penahanan itu SPRM menemui petunjuk baru untuk terus melakukan siasatan terhadap kontrak perolehan enam kapal LCS yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard.

Siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun ini kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan.

Pada April lepas, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan dengan sebulat suara untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship milik Tentera Laut Diraja Malaysia bernilai RM9 billion yang telah terbengkalai selama 43 bulan.