‘Rider’ OKU Terharu Terima Kata Semangat Warganet

- Advertisement -

CHUKAI – “Mula-mula memang berasa kekok tetapi saya bertawakal dan percaya Allah SWT pasti bantu memudahkan segala urusan,” kata penghantar makanan dan barangan bermotosikal, Ahmad Nabil Rosli.

Ahmad Nabil, 22, yang juga orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri berkongsi perkara itu selepas perkongsian mengenai kecekalannya sebagai ‘rider’ walaupun keadaan fizikalnya yang tidak sempurna mendapat perhatian warganet.

Menurutnya, dia berharap perkongsiannya itu turut membuka mata orang lain di luar sana supaya sentiasa rajin berusaha selagi mempunyai kudrat.

“Saya agak terharu bila perkongsian itu tular sehingga saya sendiri menangis kerana terima banyak komen beri kata-kata semangat.

“Saya harap perkongsian itu dapat memberi impak besar kepada semua orang agar lebih rajin bekerja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia yang menetap di Kerteh dekat sini, berkata, kerjayanya sebagai penghantar makanan dan barangan motosikal bermula sejak Jun tahun lalu.

Kongsinya, motosikal yang digunakannya untuk bekerja juga sudah diubah suai agar boleh dibawa.

“Dulu, saya bekerja sebagai pelayan restoran selama hampir dua tahun dan berhenti selepas perniagaan majikan merosot akibat pandemik Covid-19.

“Saya juga tidak boleh kerap angkat benda berat, jadi saya pilih kerjaya rider memandangkan saya ada lesen motosikal.

“Saya pun bukanlah asal orang senang dan saya memang nekad nak bantu kedua ibu bapa mencari rezeki untuk keluarga kami,” katanya.

Anak ketiga dari enam beradik itu juga mengakui pada awalnya sukar membiasakan diri dengan tugasnya namun lama-kelamaan ia bertambah baik.

Bercerita lanjut, Ahmad Nabil berkata, kecacatan yang dialaminya bukanlah sejak lahir sebaliknya berpunca daripada kemalangan jalan raya pada Mei 2017.

Menurutnya, tangan palsu yang dipakainya itu diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Januari tahun lalu.

“Ikutkan tak nak guna sebab berat tetapi saya pakai juga demi keselamatan di jalan raya dan juga bagi menutup kekurangan diri ketika mencari rezeki.

“Biasanya ibu bapa pesan makanan akan suruh anaknya ambil jadi tak nak takutkan mereka dan juga tidak mahu orang lain terlalu bersimpati atau menyoal keadaan diri saya,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat