KUALA LUMPUR – Strategi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2 peratus kepada pekerja asing adalah bertujuan untuk mengenakan satu caruman yang dengan sendirinya memberi peluang kepada kerajaan keseluruhannya mendaftar jumlah pekerja asing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, seperti mana umum maklum bahawa strategi kerajaan adalah untuk bergantung dan menumpu perhatian, membela dan menjaga kepentingan pekerja tempatan.
“Jadi bila dikenakan dividen yang minima ini, ini adalah maksudnya dengan 2 peratus itu adalah untuk mengenakan satu caruman yang dengan sendirinya memberi peluang kepada kerajaan keseluruhannya mendaftar jumlah pekerja asing,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, caruman untuk pekerja asing ini juga menggunakan sistem institusi kewangan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sistem perbankan.
“Selain itu, supaya mereka tahu, simpanan itu tetap dan mereka akan didorong untuk mengeluarkan apabila tamat tempoh khidmat mereka dan permit untuk mereka bekerja di sini.
“Jadi, KWSP dan Kementerian Kewangan mengadakan libat urus dengan semua syarikat-syarikat besar dan juga Perniagaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS).
“Kita juga terikat dengan piawaian antarabangsa – Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO). Sebab itu kalau kita lihat, hampir 70 negara menggunakan kaedah caruman, walaupun kebanyakan negara meletakkan caruman yang lebih tinggi.
“Jadi kita menggunakan yang minima, iaitu 2 peratus, kerana kita anggap 2 peratus itu tidak akan membebankan dan ini juga tidak mengurangkan perhatian KWSP kepada rakyat tempatan.
“Umpamanya, kita perkenalkan apa yang disebut caruman sukarela pada tahun 2024, yang bekerja sendiri (self-employed), sebanyak 1.2 juta ahli telah membuat caruman sukarela yang akan memberi manfaat.
“Kita ada i-Saraan dan i-Suri yang untuk menjaga sektor informal, terutamanya isteri-isteri yang menjadi suri rumah tangga. Jadi insentif Kerajaan itu sudah mencecah RM4.16 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menjawab Chiew Choon Man ( (PH-Miri) yang meminta pencerahan tentang caruman KWSP untuk bukan warganegara dan bukankah cadangan ini membebankan majikan serta pada masa yang sama, mengalih perhatian KWSP daripada ditumpukan khususnya kepada simpanan persaraan warganegara.
Dalam pada itu, Choon Man juga meminta penjelasan Perdana Menteri berkait kadar dividen luar biasa 6.3 peratus simpanan konvensional dan syariah KWSP sama ad cerminan pertumbuhan ekonomi.
Justeru Anwar memberi penghargaan kepada pengurusan KWSP sendiri kerana prestasi mereka dan ketelusan dan kecekapan yang menyebabkan kita mencatat rekod yang lebih baik.
“Setakat Disember 2024, sebanyak 63 peratus jumlah pelaburan KWSP adalah pasaran domestik. Iaitu RM 782 bilion. Pertumbuhan ini 11 peratus ketimbang 2023.
“Pencapaian dividen yang juga kerana keyakinan pelaburan kepada dasar ekonomi Madani. Kita capai 51 peratus yang lebih tinggi daripada unjuran yang saya buat di sini tahun sebelumnya.
“Bursa, peningkatan itu 12.9 peratus. Ini satu peningkatan yang besar,” jelas Menteri Kewangan itu lagi.
Kata beliau lagi, dalam-dasar dasar kerajaan yang telah diperkenalkan telah menarik perhatian kerana ketegasan dan beberapa langkah, reform institusi yang telah kita perkenalkan termasuk yang disebut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act) dan juga beberapa langkah lain institusi yang kita akan perkenalkan hari ini dan berikutnya.