KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman mengemukakan saran dan formula kepada kerajaan bagi menambah baik Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan jurang 6 negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Meskipun bersetuju dengan pandangan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyatakan bahawa 6 negeri termiskin perlu berusaha kecilkan jurang kemiskinan, namun beliau mengemukakan saran supaya ketetapan dasar (formula) yang sama hendaklah dimasukkan dalam penggubalan RMK13 yakni sekurang-kurangnya 50 peratus perbelanjaan pembangunan (DE) akan tetap disalurkan kepada 6 negeri kurang membangun sepanjang tempoh RMK13 (2026-2030).
“Secara spesifik Menteri Ekonomi boleh mempertimbangkan suatu ketetapan dasar (formula) berkenaan pembayaran royalti petroleum yang lebih telus, khususnya kepada Kelantan dan Terengganu, mengikut apa yang termaktub di dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang telah dipersetujui – secara terus dan telus.
“Ketelusan pembayaran royalti petroleum di antara pihak PETRONAS, MOF dan Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu amat penting untuk mengelakkan berlakunya situasi terlebih bayar mahupun terkurang bayar – khuatir ada hak negeri termiskin yang terambil dan ada hak negeri termiskin yang ternafi.
“Secara prinsipnya, pengagihan sumber yang adil dan cekap adalah penting bagi merapatkan jurang sosio-ekonomi yang diwarisi sejak merdeka dan perlu ditangani secara bersama di antara negeri dan Persekutuan bagai aur dengan tebing, bukan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
“Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, itulah prinsip keadilan. Memperuntukkan sesuatu kena pada tempatnya, itulah pendekatan ekonomi bersasar,” cadang Syahir dalam catatan di Facebooknya.
Memperincikan perkara tersebut, Ahli Parlimen Pas itu menyatakan, Menteri Ekonomi menyatakan 6 negeri termiskin perlu berusaha kecilkan jurang kemiskinan, suatu pandangan yang bersasar dan boleh dipersetujui.
“Namun apabila Menteri Ekonomi menyatakan 6 negeri termiskin tidak boleh mengharapkan peruntukan tinggi terus disalurkan oleh kerajaan persekutuan, pandangan tersebut sedikit tersasar.
“Tambah beliau, 6 negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah menerima peruntukan tinggi berbanding negeri lain, dan telah disalurkan secara berterusan oleh kerajaan Persekutuan sejak 2021,” katanya.
Tambah Syahir, untuk rekod, peruntukan tinggi ini adalah hasil daripada suatu ketetapan dasar (formula) yang digariskan di dalam RMK12 iaitu 6 negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan dalam agihan peruntukan pembangunan sepanjang tempoh RMK12 (2021-2025).
“Memetik dokumen RMK12 yang dibentangkan pada 2021 oleh PM9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, istilah yang digunakan adalah ‘negeri kurang membangun’, bukannya negeri termiskin, menggambarkan pendekatan pembangunan yang menjadi strategi RMK12: 6 negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan dengan agihan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas Persekutuan.
“Kerjasama yang lebih baik antara agensi persekutuan dan negeri akan diwujudkan untuk memastikan program dan projek pembangunan bersasar dilaksana dengan berkesan dan cekap.”
“Ini akan mempercepat penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas serta menjana lebih banyak peluang ekonomi di negeri kurang membangun dan mengurangkan jurang pembangunan”.
“Pastinya enam negeri tersebut telah mengambil segala langkah yang perlu untuk merapatkan jurang kemiskinan dan jurang pembangunan, mengikut bidang kuasa dan sumber kewangan negeri yang serba terbatas, dengan bantuan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya lagi.
Memetik analogi sebuah keluarga Syahir berkata, andai kata ada dalam kalangan anak yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu anak itu akan diberi lebih tumpuan.
“Apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, jatuh miskin, bantuan perlu dihulurkan supaya mereka tidak dibiarkan terus ketinggalan (leaving no one behind),” katanya.