Tun Faisal anggap gesaan hadapkan beliau ke Lembaga Disiplin tindakan ‘double standard’ minta muhasabah diri

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menganggap gesaan yang disuarakan Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu Ramlan Meon supaya beliau dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti susulan mendesak Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berundur sebagai tindakan ‘double standard’.

Menurut Tun Faisal saranan beliau supaya Hamzah berundur disebabkan kegagalan Timbalan Presiden Bersatu itu melaksanakan tugas dan peranannya, termasuk semasa menjadi Pengarah Pilihan Raya Sabah dan kerana gagal mengawal penyokong-penyokongnya yang melanggar Perlembagaan dan disiplin parti berulang kali.

“Double standard. Jika mereka minta Presiden berundur, itu tak mengapa. Bukan sekali mereka buat, berkali-kali, gagal dengan SD, mereka buat PC, gagal dengan PC mereka buat kenyataan media guna ahli MPT, bocorkan surat dan buat tuduhan dengan manipulasi surat.

“Tapi bila disarankan agar mereka sendiri desak Timbalan Presiden berundur disebabkan kegagalan Timbalan Presiden melaksanakan tugas dan peranannya, termasuk semasa menjadi Pengarah pilihan raya Sabah dan kerana gagal mengawal penyokong-penyokongnya yang melanggar perlembagaan dan disiplin parti berulang kali, mereka melenting.

“Sebaiknya mereka muhasabah diri dan nilai semula segala perlakuan mereka sebelum ini,” jelas Tun Faisal.

Terdahulu, Ramlan menggesa Tun Faisal Ismail supaya dihadapkan ke Lembaga Disiplin Bersatu ekoran kenyataan Ketua Penerangan Bersatu itu yang menggesa Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Hamzah Zainuddin meletakkan jawatan.

Hal ini kerana, kenyataan Tun Faisal tersebut didakwa dibuat tanpa mandat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan mencabuli disiplin kepimpinan parti.

Menurut Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu itu, kenyataan berkenaan tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat MPT, malah tidak dirujuk kepada ketua-ketua bahagian sebelum dikeluarkan kepada umum.

Menurutnya, sebagai Ketua Penerangan, Tun Faisal seharusnya menyuarakan pendirian rasmi parti dan bukan mengeluarkan pandangan peribadi yang boleh ditafsir sebagai pendirian Bersatu.

“Tun Faisal ialah Ketua Penerangan parti. Setiap kenyataan beliau membawa imej dan pendirian parti.

“Namun komen mengenai Datuk Seri Hamzah tidak pernah dipersetujui oleh MPT dan tidak pernah dibawa ke meja perbincangan bersama ketua-ketua bahagian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat