PM tak tolak penyelewengan jadi punca pengeluaran padi, beras merosot

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak penyelewengan menjadi antara faktor yang menjejaskan produktiviti pengeluaran padi dan beras di negara ini.

Beliau bagaimanapun, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.

“Saya tidak mahu nafikan berlaku penyelewengan. Biar badan penguat kuasa siasat.

“Saya juga teliti kenyataan Menteri Besar (Kedah), kalau ada bukti maklumkan kepada kita untuk diambil tindakan.

“Tetapi yang nyata adalah produktiviti pengeluaran padi di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu itu sangat rendah ketimbang di Sekinchan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johar (PH-Sungai Petani) yang meminta penjelasan kerajaan adakah terdapat penyelewengan dalam industri padi dan beras yang boleh menjejaskan produktiviti penghasilan makanan ruji itu.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujud kegiatan menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import, menyebabkan isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran berlarutan sehingga kini.

Lantaran itu, Muhammad Sanusi bimbang masalah ketiadaan bekalan beras tempatan tidak akan selesai selagi kegiatan yang didalangi kartel tidak dibanteras sepenuhnya oleh agensi berkaitan.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menggesa kuasa menguruskan tanaman dan industri padi wajar diberikan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan bekalan beras tempatan dipulihkan.

Mengulas lanjut contoh pengurusan padi dan beras di Sekinchan, Perdana Menteri berkata apa yang dilakukan di daerah berkenaan boleh diaplikasi di negeri lain.

Anwar berkata, antaranya dengan menggembleng pengurusan benih, baja dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan dron.

“Ia seperti yang dilakukan oleh (syarikat) Sime Darby dalam industri kelapa sawit.

“Saya ucapkan terima kasih kerana kerajaan negeri Kedah beri kerjasama dari segi pengurusan tanah yang sesuai untuk mempercepatkan.

“Kita juga cadangkan kerana kerajaan negeri bimbang perluasan kawasan tanah padi. Kita tidak bermaksud menambah kawasan, malah kawasan boleh dikurangkan kalau produktiviti ditambah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat