KOTA KINABALU, 4 Januari 2026, — UMNO Sabah menegaskan pendiriannya untuk kekal autonomi dalam menentukan hala tuju politik negeri itu dan mengambil sikap berhati-hati terhadap sebarang saranan yang dibangkitkan oleh Pemuda UMNO di peringkat pusat.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berkata, gesaan terbaharu yang dikemukakan oleh sayap pemuda parti itu lahir daripada pertimbangan politik yang dibentuk oleh perkembangan semasa di Semenanjung dan tidak semestinya selari dengan realiti politik serta keutamaan rakyat Sabah.
Kenyataan tersebut dibuat sebagai respon kepada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang membincangkan hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Konvensyen itu turut menyaksikan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, menyuarakan saranan agar UMNO menilai semula kedudukannya dalam kerajaan sedia ada serta membuka ruang kerjasama politik dengan PAS menerusi pendekatan Muafakat Nasional bagi menyatukan sokongan orang Melayu.
Mengulas perkara itu, Salleh berkata Sabah mempunyai landskap politik dan sosial yang berbeza berbanding Semenanjung, justeru pendekatan dan strategi politik yang dibahaskan di peringkat pusat tidak boleh diterapkan secara langsung ke negeri itu tanpa mengambil kira konteks setempat.
Menurut beliau, bagi rakyat Sabah, keutamaan utama ialah perpaduan, kestabilan politik dan tadbir urus yang berkesan dalam sebuah negeri yang bersifat majmuk. Katanya, kestabilan politik amat penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta pelaksanaan perancangan pembangunan jangka panjang dapat diteruskan tanpa gangguan.
Salleh turut menegaskan bahawa fokus utama Sabah ketika ini adalah pembangunan negeri serta tuntutan autonomi sebenar dan hak negeri sepenuhnya, termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri, selaras dengan perjanjian dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa UMNO Sabah perlu diberikan ruang dan kebebasan untuk menentukan pendirian serta hala tuju politiknya sendiri berdasarkan kepentingan negeri dan rakyat Sabah, tanpa terikat dengan perbahasan, saranan atau polemik politik di peringkat pusat.
Katanya, sebarang keputusan yang melibatkan Sabah mesti dibuat secara berhemah dan berpaksikan realiti tempatan, bukan didorong oleh sentimen politik luar yang berpotensi menjejaskan kestabilan negeri.
Pada masa sama, Salleh menegaskan Sabah perlu kekal fokus untuk mentadbir dengan berkesan, memperkukuh agenda pembangunan serta mempertahankan hak-haknya dalam Persekutuan, tanpa terheret dengan polemik politik dari luar Sabah. – SuaraTV



