KUALA LUMPUR -Cerita Perikatan Nasional (PN) ingin menukar kerajaan bukanlah perkara baru, ia umpama drama televisyen yang diulang siar dengan skrip sama.
Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin secara sinikal Shaifu berkata, malam, jika ia drama televisyen penonton telah tukar siaran kerana bosan dengan plot yang sama dan tidak menjadi kenyataan.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor bahawa PN sentiasa berusaha untuk menumbangkan kerajaan.
“Cerita mereka nak jadi kerajaan ni bukan kali pertama, kalau ini drama TV, orang dah tukar awal-awal siaran sebab skrip sama sahaja. Waktu PRN enam negeri, pun cakap nak tukar kerajaan, tapi dah 145 hari dah semenjak PRN, tapi ada apa-apa berlaku? Tiada.
“Malah selepas PRN, satu-satu post countdown mereka muat naik di media sosial, kata kerajaan bakal bertukar 31 Ogos, tapi ni dah (lepas) 31 Disember apa pun tak jadi.
“Yang terjadi adalah, beberapa ahli parlimen Bersatu dah sokong PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim), jumlah sokongan PMX semakin lama semakin bertambah, mereka sahaja berkurang,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Malaysiakini.
Semalam Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN, mengakui gabungan itu sentiasa mencuba untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan menganggap langkah tersebut seperti menjaringkan gol dalam perlawanan bola sepak.
Bercakap kepada media di Alor Setar hari ini, Menteri Besar Kedah itu berkata, kerajaan pimpinan Anwar memang boleh ditumbangkan melalui proses demokrasi seperti yang dibenarkan dalam perlembagaan.
Merujuk kepada tindakan kerajaan menerima sokongan lima ahli parlimen PN baru-baru ini, Sanusi berkata, langkah tersebut juga digambarkan sebagai mengikut perlembagaan.
Justeru, katanya, tindakan PN menarik sokongan ahli parlimen dari BN dan PH juga boleh dianggap serupa.
Mengulas lanjut, Shaifu Hazizy yang juga ketua Umno Merbok itu mendawa kegagalan gerakan yang digelar ‘Langkah Dubai’ yang direncana untuk menumbangkan kerajaan amat memalukan.
“Lebih memalukan, ‘Langkah Dubai’ yang mereka cuba buat ini gagal. Kerajaan tidak dapat ditumbangkan, malah pelan mereka untuk bawa masuk duit RM750 juta ke negara pun gagal kerana ketangkasan KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersama FBI, Interpol dan CIA menghalang usaha tersebut,” tambahnya lagi.
Menurut pemimpin Umno itu lagi, kerajaan hari ini sangat stabil kerana parti komponen sudah memberikan kesetiaan dan Umno sendiri melalui presiden parti itu mengatakan akan terus kekal bersama kerajaan Madani.