Bayaran BWI sangat cepat, mudahkan ibu tunggal urus keluarga

- Advertisement -

KUALA KRAI: Ibu tunggal di sekitar Kuala Krai bersyukur Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas akibat banjir diberi dengan cepat dan proaktif sekali gus dapat membantu golongan itu menguruskan keluarga.

Rahana Deraman, 61, yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pejabat Veterinar setelah rumahnya di Bukit Che Si ditenggelami air banjir berkata segala proses yang dilakukan agensi kerajaan kali ini tersusun dan teratur bagi memudahkan urusan mangsa banjir.

“Pada 27 Dis, saya dapat panggilan daripada petugas di PPS tersebut minta hadir untuk terima bayaran BWI selepas tiga hari pulang dari PPS itu apabila air sudah surut.

“Saya terkejut dan tidak menyangka bayaran ini akan dapat dengan cepat kerana sebelum ini hampir setahun baru saya dapat sehingga memberi sedikit kesukaran untuk saya uruskan keluarga dan beli peralatan rumah baharu yang rosak akibat banjir,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Rahana yang berniaga kuih-muih di sekitar jajahan ini berkata wang itu dapat membantu beliau membeli pakaian sekolah anak tunggalnya yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan kerajaan sekarang ini yang begitu prihatin dan cakna dengan kesusahan rakyat,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal yang menetap di Guchil 7, Rahimah Yaakob, 76, pula berkata bantuan banjir kali ini membuktikan kesungguhan kerajaan membantu rakyat yang terkesan akibat banjir untuk memudahkan urusan pascabanjir.

Beliau berkata wang berjumlah RM1,000 yang diterimanya akan digunakan sebaik mungkin selain membaik pulih kelengkapan rumah yang mengalami kerosakan akibat bencana alam itu.

“Masa ‘bah kuning 2014’ pun tidak secepat ini saya terima wang ihsan berbanding kali ini baru sahaja tiga hari pulang rumah terus dapat wang ihsan.

“Saya sangat bersyukur kerana kerajaan sangat memahami kesempitan hidup yang dilalui oleh mangsa banjir dan bantuan yang diberikan sangat tepat pada waktunya, bukan hampir setahun baru terima,” katanya yang turut menetap di PPS Pejabat Veterinar selama empat hari.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,613FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat