Prasarana Dah Bayar RM3.4 Bilion, Tiada Isu Lewat Bayar Kontraktor – Tajuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menahan bayaran RM700 juta kepada kepada 17 subkontraktor dan firma perunding yang terlibat dengan projek Transit Aliran Ringan (LRT3) sejak Julai tahun lalu.

Pengerusi Prasarana Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebaliknya berkata, pihaknya membayar sebanyak RM3.468 bilion kepada kontraktor utama MRCB George Kent setakat 2 Oktober tahun lalu.

“Dakwaan mengatakan kita menahan bayaran kepada kontraktor iaitu MRCB George Kent itu tidak betul, mereka yang tuntut itu bukan kontraktor kita, tapi kontraktor kepada MRCB.

“Kita sudah bayar RM3.468 bilion kepada MRCB George Kent setakat 2 Okt 2020, mana ada tertunggak sampai enam ke tujuh bulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada masa sama, Tajuddin turut menafikan dakwaan beliau cuba menamatkan kontrak projek Latitud8 bernilai RM1.2 bilion di Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk kepentingan peribadi.

Sebaliknya, beliau mahu menyelamatkan projek yang terbengkalai itu dengan menggunakan tapak projek sebagai ibu pejabat baharu Prasarana.

“Saya disindir dan dituduh dapat kepentingan peribadi dari satu projek dari anak syarikat Prasarana, sedangkan projek itu dianugerahkan pada 2012 ketika saya Pengerusi Felcra. Ini projek lapan tahun dulu dan saya tidak berminat dengan projek ini.

“Projek tidak berjalan seperti ditetapkan terutamanya dalam keadaan Covid-19 jadi ada perbincangan untuk bina bangunan yang boleh dijadikan ibu pejabat Prasarana. Saya sudah beritahu kepada Menteri Kewangan supaya ia boleh diselamatkan dan menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Beliau juga menafikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat serbuan terhadap Prasarana pagi tadi sebaliknya hanya meminta beberapa dokumen untuk menjalankan siasatan berkenaan dakwaan salah guna kuasa.

Selain itu, beliau mengesahkan satu jawatan kuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat dan meneliti tuduhan terhadap Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan keputusan akan diketahui apabila diumumkan nanti. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat