KUALA LUMPUR – Tindakan menuduh calon Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan jentera kerajaan ketika berkempen adalah salah satu contoh tindakan terdesak kumpulan tertentu untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN juga boleh mempersoalkan kehadiran menteri dan timbalan menteri daripada kumpulan itu dalam majlis-majlis yang diadakan dalam tempoh 14 hari berkempen.
Beliau berkata, semua parti sepatutnya berkempen secara bersih dengan tidak mencipta sesuatu isu untuk menyerang lawan.
“Kalau sesuatu kumpulan itu berasa terdesak mereka akan mencari pelbagai alasan, mencari pelbagai perkara kerana mungkin mereka sangat terdesak. Saya tidak fikir itu perlu kita gembar-gemburkan.
“Kita bertanding ikut peraturan dan kita harap perkara-perkara yang tidak perlu ditimbulkan itu dipanjangkan. Yang penting 14 hari bulan nanti kita lihat di mana arah sokongan yang diberikan oleh pengundi di negeri Melaka,” katanya dalam sidang akhbar Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara (YPM) di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Alamanda, lapor Utusan di Melaka pada Selasa.
Semalam, Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar atas dakwaan berkempen menggunakan premis dan jentera kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail berkata, laporan polis terhadap penyandang kerusi itu dibuat oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Aishah berkata, Khaidirah didakwa melakukan perbuatan itu semasa hadir pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima bersempena dengan sambutan Deepavali dan segala bukti bergambar serta rakaman berkaitan perkara itu telah diserahkan kepada polis.



