KUALA LUMPUR – Datuk Puad Zarkashi menjangkakan Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan mengulangi nasib sama seperti di Johor iaitu akan hilang wang pertaruhan dalam saingan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Kata Puad, cabaran Bersama untuk terus dilihat relevan ialah menang kerusi sulung.
“Maka tidak perlulah Bersama main isu umur baru 5 bulan dan asalkan jangan hilang pertaruhan.
“Bersama perlukan “wow factor”. Masalahnya, (Datuk Seri ) Rafizi bukan wow factor tersebut,” dakwa bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu.
Puad turut mengingatkan bahawa, Bersama tidak lahir kerana isu rakyat yang menyala.
Menurut bekas Speker DUN Johor itu lagi, isu reformasi tulen dan tidak tulen hanya mainan Rafizi untuk membezakan kumpulannya di dalam konflik PKR.
“Rakyat di luar PKR tidak terpesona dengan justifikasi Rafizi,” kata Puad.
Tambah Puad lagi, berdasarkan gambar dan video yang viral semasa hari penamaan calon memang meriah. Ramai penyokong hadir. Tetapi parti Bersama nampak tenggelam.
“Apakah nasib Bersama yang hilang wang pertaruhan di PRN Johor dan Negeri Sembilan akan berulang lagi di Melaka. Nampak gaya begitulah.
“Rafizi cuba berdalih kononnya parti itu baru berusia lima bulan. Tetapi alasan dia sukar diterima. Rekod membuktikan ada parti yang baru lahir tetapi terus berkuasa.
“Parti Bersatu Sabah (PBS) diasaskan pada tahun 1985. 47 hari kemudian menyertai PRN Sabah dan berjaya menubuhkan kerajaan PBS.
“Parti Warisan di bawah Datuk Seri Shafie Apdal pula berjaya menguasai kerajaan Sabah setelah membuat penampilan pertama di PRN Sabah 2018. Umur Warisan baru setahun jagung.
“Parti BERJAYA Sabah ditubuhkan pada tahun 1975. Menang PRN Sabah 1976 dan seterusnya berjaya menubuhkan kerajaan sendiri.
“BERJASA ditubuhkan pada tahun 1977. Di PRN Kelantan 1978, Berjasa menang 11 daripada 24 kerusi yang ditandingi dan menubuhkan kerajaan campuran bersama BN yang menang 23 daripada 24 kerusi.
“Sedangkan Bersama satu kerusi pun tidak menang. Hampir 100 peratus calonnya hilang wang pertaruhan. Ia terperangkap dengan dua PRN di mana Bersama tidak ada akar umbi. Tidak seperti PBS, Warisan, Berjaya dan Berjasa,” katanya.



