ASEAN–New Zealand Umum Rangka Kerja Lima Tahun bagi Kemakmuran Bersama

KUALA LUMPUR, — Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir minggu lalu turut mencatatkan persetujuan antara ASEAN dan New Zealand bagi menjayakan pelan lima tahun yang dijangka menjadi pemacu hubungan strategik ke arah kemakmuran rantau ASEAN.

Pelancaran Pelan Tindakan Pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN–New Zealand 2026–2030 (Plan of Action to Implement the ASEAN–New Zealand Comprehensive Strategic Partnership 2026–2030) ini merupakan kesinambungan kerjasama erat kedua-dua pihak sejak 1975, dan memberi harapan kepada hubungan yang lebih akrab dan mampan pada masa hadapan.

Pelan bersama ASEAN–New Zealand ini meletakkan empat tunggak utama sebagai asas pelaksanaan, iaitu Keamanan (Peace), Kemakmuran (Prosperity), Rakyat (People) dan Planet (Planet). Keempat-empat tunggak ini menjadi kerangka utama dalam membina keseimbangan antara kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, pembangunan sosial dan kelestarian alam sekitar selaras dengan visi ASEAN 2045: Our Shared Future.

Keamanan: Memperkukuh Tadbir Urus dan Ketahanan Serantau

Di bawah tunggak pertama, ASEAN dan New Zealand menekankan keutamaan terhadap kestabilan politik dan keselamatan serantau berasaskan undang-undang antarabangsa. Kedua-dua pihak beriltizam mempertahankan prinsip ASEAN Centrality, sambil memperkukuh peranan mekanisme seperti East Asia Summit (EAS), ASEAN Regional Forum (ARF), dan ASEAN Defence Ministers’ Meeting Plus (ADMM-Plus).

Kerjasama pertahanan praktikal akan diteruskan melalui latihan bersama, pertukaran pegawai dan pembinaan kapasiti, termasuk dalam bidang pembersihan periuk api serta bantuan kemanusiaan. Inisiatif ini turut memperkukuh diplomasi pencegahan, pengurusan konflik dan pembinaan keamanan melalui ASEAN Institute for Peace and Reconciliation (ASEAN-IPR) serta pelaksanaan agenda Women, Peace and Security (WPS).

Dalam menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional seperti keganasan, jenayah siber, pemerdagangan orang dan penyeludupan dadah, ASEAN dan New Zealand akan memperluas kerjasama di bawah ASEAN–New Zealand Senior Officials’ Meeting on Transnational Crime (SOMTC+NZ). Usaha bersama turut digerakkan bagi memperkukuh keselamatan siber, mempromosikan ruang siber yang aman dan terbuka, serta meneroka potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertahanan secara bertanggungjawab.

Selain itu, kedua-dua pihak menegaskan komitmen terhadap keselamatan maritim dan kebebasan pelayaran mengikut prinsip United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS 1982). Kerjasama dalam pembangunan ekonomi biru (Blue Economy) dan pengurusan sumber marin turut dipertingkat, seiring dengan usaha membanteras aktiviti perikanan haram, cetak rompak dan pencemaran laut.

Kemakmuran: Memperkasa Daya Saing dan Rantaian Bekalan Hijau

Tunggak kedua memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan (rules-based multilateral trading system) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). ASEAN dan New Zealand melihat kerjasama ekonomi bukan sahaja sebagai pemacu pertumbuhan, tetapi juga sebagai platform untuk memastikan kestabilan dan keterangkuman ekonomi serantau.

Fokus utama pelan ini ialah pelaksanaan menyeluruh bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand (AANZFTA) yang menjadi tulang belakang integrasi ekonomi Indo-Pasifik. Melalui kemudahan Regional Trade for Development (RT4D) Facility, negara anggota ASEAN dijangka dapat memperkukuh kapasiti teknikal dan memanfaatkan peluang pelaburan baharu secara lebih efektif.

Selain itu, pelan tindakan ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi digital dan rantaian bekalan hijau. Kedua-dua pihak bersetuju mempercepatkan pelaksanaan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) dan Digital Integration Framework Action Plan (DIFAP) bagi mewujudkan ekosistem perdagangan digital yang selamat, mampan dan saling berkaitan. Transformasi digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut menjadi agenda utama bagi memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara menyeluruh di seluruh rantau.

Dalam masa yang sama, kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan kewangan hijau turut diperkukuh. Projek-projek seperti pembangunan ASEAN Power Grid dan inisiatif hidrogen hijau dijangka menjadi pemacu utama ke arah ekonomi rendah karbon menjelang 2045. Pendekatan ini bukan sahaja membantu negara anggota beralih kepada tenaga bersih, malah mengukuhkan daya tahan ekonomi ASEAN menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Rakyat: Pelaburan dalam Modal Insan dan Jalinan Sosial

Tunggak ketiga memberi tumpuan kepada pelaburan dalam modal insan serta memperkukuh hubungan antara rakyat ASEAN dan New Zealand. Pendidikan, latihan, kesihatan awam dan program sosial dijadikan teras kepada agenda pembangunan manusia yang inklusif dan seimbang.

Program Biasiswa Manaaki New Zealand akan diperluas bagi memberi peluang pendidikan tinggi dan latihan diplomasi kepada pelajar serta pegawai muda ASEAN. Inisiatif seperti English Language Training for Officials (ELTO), Young Business Leaders Initiative dan Young Leaders Programmepula dijangka menjadi wadah penting dalam melahirkan pemimpin muda serantau yang berpengetahuan dan progresif.

Selain bidang akademik, kerjasama antara universiti dan pusat penyelidikan turut dipertingkat melalui Track II Dialogue bagi memperkukuh keupayaan dasar dan inovasi serantau. Dari sudut sosial, ASEAN dan New Zealand turut menegaskan komitmen terhadap hak asasi manusia, kesamarataan gender serta perlindungan kumpulan rentan seperti wanita, kanak-kanak, warga emas, pekerja migran dan orang kurang upaya.

Kerjasama melalui ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (ACWC) dan ASEAN Committee on Migrant Workers (ACMW) akan diperkasa bagi memastikan keadilan sosial dan perlindungan kebajikan masyarakat di seluruh rantau. Pelan ini juga memperkukuh kerjasama kesihatan awam dengan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan bencana, penyakit berjangkit serta penuaan aktif melalui penggunaan teknologi digital dan perkongsian pengetahuan.

Planet: Kelestarian, Iklim dan Daya Tahan Alam Sekitar

Tunggak keempat menzahirkan komitmen bersama ASEAN dan New Zealand terhadap kelestarian alam sekitar dan tindakan iklim global. Kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Paris (Paris Agreement) dengan sasaran mengekang pemanasan global di bawah 1.5 darjah Celsius.

Pelan ini menggariskan kerjasama dalam bidang mitigasi dan adaptasi iklim termasuk pembangunan pertanian pintar iklim (climate-smart agriculture), pemuliharaan biodiversiti dan pengurangan pencemaran plastik marin. Institusi serantau seperti ASEAN Centre for Climate Change (ACCC), ASEAN Centre for Energy (ACE) dan ASEAN Centre for Biodiversity (ACB) akan menjadi pemangkin dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar ini.

Selain perubahan iklim, kedua-dua pihak juga memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA Centre) dan pelaksanaan ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER). Pendekatan ini selaras dengan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction dan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Ketahanan Lestari, yang menekankan konsep membina semula dengan lebih baik selepas bencana.

Kerjasama dalam bidang tenaga bersih, pasaran karbon dan ekonomi hijau turut menjadi tumpuan utama di bawah tunggak ini. Melalui projek tenaga boleh diperbaharui dan grid pintar serantau, ASEAN dan New Zealand berusaha memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar — demi masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan.

Kerjasama Rentas Tunggak dan Pemantauan Pelaksanaan

Pelan tindakan ini turut memperkukuh pelaksanaan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (ASEAN Outlook on the Indo-Pacific, AOIP) sebagai asas kepada kerjasama rentas tunggak. Ia menumpukan empat bidang utama iaitu kerjasama maritim, konektiviti, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2030), dan integrasi ekonomi Indo-Pasifik.

New Zealand juga menegaskan komitmen untuk menyokong Pelan Kerja Inisiatif Integrasi ASEAN (Initiative for ASEAN Integration, IAI Work Plan V 2026–2030), bagi merapatkan jurang pembangunan antara negara anggota serta membantu Timor-Leste mencapai keanggotaan penuh dalam ASEAN.

Mekanisme pemantauan akan dilaksanakan melalui ASEAN–New Zealand Dialogue dan ASEAN–New Zealand Joint Cooperation Committee (ANZJCC), dengan laporan kemajuan dibentangkan setiap tahun kepada ASEAN Post Ministerial Conference (PMC+1).

Kesimpulan

Pelan Tindakan ASEAN–New Zealand 2026–2030 ini bukan sekadar kesinambungan kerjasama, tetapi satu lonjakan baharu ke arah hubungan strategik yang lebih dinamik, seimbang dan berpaksikan nilai bersama. Empat tunggak utama — Keamanan, Kemakmuran, Rakyat dan Planet — kini menjadi panduan kepada usaha kedua-dua pihak membina rantau Indo-Pasifik yang aman, makmur dan lestari.

Dengan pelaksanaan program utama seperti Vision Fund, Biasiswa Manaaki, dan ASEAN–New Zealand Trade Academy, ASEAN dan New Zealand menegaskan komitmen mereka untuk menjadikan hubungan dua hala ini sebagai model perkongsian strategik bagi abad ke-21.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat