KUALA LUMPUR, 2 November 2025 – GGR Legacy (M) Sdn. Bhd., atau lebih dikenali sebagai GGR Motor, hari ini mengumumkan satu lagi pencapaian penting dalam industri automotif negara apabila memperkenalkan dua prototaip motosikal elektrik terbaharu Pantera R1 dan Pantera R2. Pelancaran yang berlangsung di Pentas Utama MATEC, Bukit Jalil, itu menandakan komitmen syarikat tempatan tersebut dalam memperkukuh pembangunan kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi buatan Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, kedua-dua model Pantera dibangunkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan secara tempatan dengan objektif untuk menampilkan motosikal elektrik jarak jauh pertama yang direka dan dipasang sepenuhnya di Malaysia. Dengan keupayaan perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh, Pantera R1 dan R2 dijangka menjadi penanda aras baharu dalam kategori motosikal elektrik negara.
Musaddiq menjelaskan bahawa Pantera menggunakan dua unit bateri berkapasiti 73.8V/116Ah, menjadikannya antara motosikal elektrik dengan kapasiti tenaga tertinggi di pasaran Asia Tenggara ketika ini. Ia turut dilengkapi dengan sistem pengecasan pantas yang membolehkan satu bateri dicas penuh dalam masa hanya 30 minit. Bateri ini boleh dicas sama ada di rumah menggunakan pengecas biasa atau ditukar di stesen pertukaran bateri (swap station) yang sedang dibangunkan oleh GGR Motor.
“Keunikan Pantera ialah pada fleksibiliti sistem baterinya. Pengguna tidak lagi perlu menunggu lama kerana mereka boleh menukar bateri di stesen swap kami atau mengecas di mana-mana lokasi yang menyokong sistem pengecasan kenderaan elektrik standard,” jelas Musaddiq.
Dari segi prestasi, kedua-dua model ini dipacu oleh motorhub berkuasa 5,000 watt dengan bantuan pengawal Votol Controller sebuah jenama antarabangsa terkenal yang diiktiraf kerana kecekapan tenaga dan kebolehpercayaannya. Pantera mampu mencapai kelajuan maksimum antara 110 hingga 150 kilometer sejam, dengan kos penyelenggaraan hampir sifar kerana tidak memerlukan minyak enjin atau servis mekanikal seperti motosikal konvensional.
Musaddiq menekankan bahawa sasaran utama GGR Motor adalah untuk menyokong komuniti penghantar makanan, pemandu e-hailing, serta usahawan mikro yang bergantung kepada motosikal sebagai sumber pendapatan utama. Dengan beralih kepada motosikal elektrik, pengguna dalam sektor ini berpotensi menjimatkan sehingga 60 peratus daripada kos operasi harian. “Pantera bukan sekadar kenderaan, tetapi satu peluang ekonomi baharu untuk rakyat,” katanya.
Bagi memudahkan pemilikan, GGR Motor turut memperkenalkan skim pembiayaan mudah dengan deposit rendah serta bayaran ansuran fleksibel. Walaupun harga rasmi belum diumumkan kerana model masih berstatus prototaip, Musaddiq memberi jaminan bahawa harganya akan berada di bawah RM10,000 menjadikannya mampu milik bagi kebanyakan pengguna tempatan.
Pelancaran Pantera R1 dan R2 turut disertai dengan pelan dua fasa pembangunan ekosistem sokongan. Fasa pertama (Oktober hingga Disember 2025) menumpukan pembinaan rangkaian stesen pertukaran bateri dan pengecasan pantas di seluruh negara, manakala fasa kedua (bermula Januari 2026) akan membuka pra-tempahan kepada pengguna, khususnya komuniti e-hailing.
GGR Motor juga sedang memperluas jaringan kolaborasi strategik dengan sektor korporat dan swasta bagi mempercepat pembangunan infrastruktur swap station di Malaysia. Antara calon rakan kerjasama ialah syarikat yang mempunyai rangkaian cawangan luas seperti pasar raya runcit, stesen minyak, dan kedai serbaneka. Menurut Musaddiq, sinergi ini amat penting bagi memastikan ketersediaan kemudahan pengecasan dan pertukaran bateri di seluruh negara.

“Ini bukan projek satu syarikat, tetapi usaha nasional membina ekosistem EV yang menyeluruh,” tegas beliau. Bagi menarik minat pengusaha tempatan, GGR Motor turut memperkenalkan model “Subscription Swap Station”, yang memberi peluang kepada pemilik premis untuk menyertai rangkaian pertukaran bateri di bawah jenama GGR. Melalui model ini, pengusaha akan menerima komisen bagi setiap transaksi pertukaran bateri yang dilakukan di premis mereka.
Dalam perbualan bersama media selepas pelancaran, Musaddiq turut mengimbas kembali kejayaan model terdahulu, Lion G1, yang terjual lebih 8,000 unit dalam tempoh singkat. Beliau menjelaskan bahawa pengalaman tersebut banyak membantu GGR memahami cabaran utama pasaran EV tempatan, terutamanya kekurangan infrastruktur pengecasan. “Dulu kami berjaya membuka pasaran, sekarang kami mahu kukuhkan asas teknologi dan bina ekosistem yang lengkap,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa GGR kini sedang mempertingkat kapasiti kilang pemasangan di Sungai Penchala, Damansara, bagi memastikan kualiti produk yang konsisten. Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) di Alor Setar pula dilantik sebagai Master Dealer yang akan menguruskan pengedaran dan khidmat pelanggan di wilayah utara.
Menariknya, GGR Motor juga aktif melibatkan selebriti tempatan dalam inisiatif pemasaran dan francais mereka. Dua cawangan, GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil, telah pun beroperasi, manakala kerjasama dengan pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro sedang dirancang. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh strategi jenama, tetapi juga mempercepat penerimaan awam terhadap kenderaan elektrik.
Melangkah ke tahun 2026, GGR Motor berhasrat membuka peluang kepada usahawan baharu yang berminat untuk menjadi pengedar rasmi motosikal elektrik jenama GGR. Dalam jangka panjang, syarikat ini juga menyasarkan pasaran Asia sebagai destinasi eksport utama selepas ekosistem domestik stabil sepenuhnya.
“Fokus kami bukan semata-mata menjual motosikal elektrik, tetapi membina masa depan mobiliti yang lestari dan berdaya saing untuk Malaysia,” ujar Musaddiq dengan penuh keyakinan.



