KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah berbincang atau membuat sebarang keputusan menamakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata, audio yang tersebar kononnya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat cadangan tersebut belum tentu sahih dan tidak perlu dipolemikkan.
Katanya, setakat ini, beliau belum mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut dan jika benar sekali pun, Pas tidak pernah membuat keputusan mengenainya.
“Kita tidak tahu dan belum tentu kesahihan audio tersebut. Sekarang, macam-macam orang boleh buat terutama menggunakan teknologi AI (kecerdasan buatan).
“Apa pun, kalau betul sekalipun, ia bukan sesuatu keputusan dibuat parti, tidak pernah dibincang lagi dalam mesyuarat,” lapor Utusan di Perlis pada Jumaat.
Sebelum ini, tersebar klip audio pendek mirip suara seorang pemimpin Bersatu yang mendakwa Abdul Hadi membuat cadangan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri dalam pertemuan tertinggi bersama beberapa pemimpin Bersatu.
Bagaimanapun, Pas menafikan rakam itu, namun tidak menafikan terdapat perjumpaan bersama Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bagi membincangkan hal ehwal semasa.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat dan perbincangan tidak rasmi sering diadakan sama ada di pejabat, lokasi seperti Publika mahupun tempat lain, termasuk ketika sidang Parlimen berlangsung.
Dalam perkembangan lain, Hashim berkata, Pas terus membina kekuatan di semua peringkat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka dalam masa terdekat.
“Kita sedang membuat persediaan dan memperkukuhkan jentera dalam berdepan pilihan raya tersebut,” katanya.



