‘Naga Kramat’ gegar pentas gah

- Advertisement -

SAYAP kumpulan rock terunggul, Wings terus berkembang. Sebelum menutup tirai tahun ini, mereka bakal beraksi dalam konsert di Zepp Kuala Lumpur.

Lokasi bertaraf dunia ini akan menjadi gelanggang Wings bagi siri konsert terakhir untuk 2022 di Kuala Lumpur.

Naga Kramat menjadi pilihan jenama konsert kerana ia boleh memberi gambaran mengenai kehebatan anggota Wings apabila berada di pentas yang besar dan gah.

Naga Kramat juga adalah judul album ke-10 Wings yang diterbitkan pada 2002.

Mereka yang bergelar peminat tegar Wings pasti tahu kewujudan album ini kerana ia dihasilkan selepas penyanyi, Datuk Awie kembali ke pangkuan Wings.

Pasti ramai yang masih ingat, penyanyi hebat ini pernah membawa haluan sendiri pada 1993.

Walaupun semakin berusia, perjalanan Wings terus bertenaga dengan Konsert Naga Kramat anjuran MW Mega dan Awie Entertainment yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini di Zepp Kuala Lumpur.

Awie berkata, dia bersama anggota Wings seperti Edrie (gitar), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) sangat teruja untuk beraksi di pentas yang semakin popular ini.

“Sebelum ini kami hanya dengar cerita kawan-kawan yang pernah beraksi di situ. Kali ini kami sendiri akan beraksi dan sudah tentu Wings ingin memberikan yang terbaik buat peminat.

“Perasaan teruja itu pasti ada kerana ia kali pertama kami nak jejak kaki ke pentas yang selalu dicanang tempat bagus dan bertaraf dunia,” katanya.

Mengenai pemilihan lagu, Awie berkata, tidak semua lagu dari album Naga Kramat dimainkan.

“Mungkin ada lagu dari album itu. Ia hanya nama konsert memandangkan album ini mempunyai sejarah Wings yang tersendiri.

“Ia ada ‘sentimental value’ antara kami. Yang pastinya saya nak bagi peminat puas dengan sajian lagu ‘best’ buat mereka yang datang.

“Saya ingin mereka mencipta memori setiap kali menyaksikan persembahan atau konsert kami. Mereka datang berbayar dan bukan percuma. Jadi, saya akan menghargainya dengan membuat persembahan yang terbaik,” katanya.

Wakil MW Mega, Mashar Mokhtar berkata, kedua-dua pihak mula merancang mengadakan konsert ini sejak dua bulan lalu.

“Peringkat awalnya agak sukar kerana jadual Wings dan Awie agak padat. Selepas berbincang dengan pihak Awie Entertainment, akhirnya tarikh keramat ini dipilih sebagai hari yang terbaik untuk menjayakannya.

“Ini adalah projek sulung MW Mega dan pastinya saya meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk konsert ini. Saya memberikan 110 peratus komitmen bagi memastikan konsert ini berjalan lancar dan berjaya,” katanya.

Sehubungan itu, Mashar menyeru semua Sayap-Sayap Wings dan peminat rock tanah air untuk datang menyaksikan sendiri konsert ini.

Tiket konsert Naga Kramat kini mula dijual secara atas talian. Harga tiket mengikut kategori bermula dari RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama).

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,481FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat