Oleh Zihan Zari
SABAK BERNAM – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) terus membuktikan bahawa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua apabila menerima lebih 890 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai pelajar baharunya bagi Sesi 1: 2025/2026.
Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid, berkata bilangan pelajar yang mendaftar menunjukkan keyakinan ibu bapa dan pelajar terhadap sistem pendidikan politeknik yang berteraskan kemahiran serta bersifat holistik.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Akademik PSIS, Hj. Zainuddin Kasmuri, turut meninjau proses pendaftaran pelajar baharu agar berjalan lancar dan tersusun sepertimana dirancang.
Sesi taklimat turut diberikan kepada ibu bapa dan soal jawab berkaitan hal ehwal akademik, kebajikan serta kemudahan pelajar bersama pihak pengurusan PSIS di Dewan Seri Lang, PSIS dekat sini baru-baru ini.
Haslinda berkata sokongan baik ibu bapa dan sambutan daripada pelajar, menjadi bukti jelas bahawa TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, malah kini semakin diyakini oleh masyarakat sebagai laluan kerjaya yang menjamin masa depan.
“Pendidikan TVET juga hari ini terbukti mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir, malah memiliki nilai tambah yang tinggi, sekali gus memenuhi keperluan industri dan pasaran kerja, ”katanya.
Katanya lagi, pada 7 Julai lalu, PSIS buat julung-julung kalinya, juga telah menerima kemasukan pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan.-SUARA.TV



