Zahid Dakwa Telah Persembah Kepada Agong, Muhyiddin Hilang Majoriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa beliau telah mempersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong mengenai penarikan sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam sidang media khas sebentar tadi Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak memaklumkan jumlah Ahli Parlimen yang telah menarik sokongan.

“Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.”

Dalam sidang media tersebut Ahmad zahid turut mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO secara sebulat suara mempertahankan YDP Agong dan meminta Muhyiddin meletak jawatan secara terhormat.

“UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

“Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.”

“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.”

Zahid menggesa Muhyiddin Yassin mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat. – SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat