Pekerja seni perlu daftar MyCAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) sedang mengumpul data bagi memudahkan proses penyelarasan kadar bayaran atau tangga gaji pekerja seni pelbagai peringkat.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata sejak penubuhan MyCAP, FINAS yakin pelbagai isu membabitkan kebajikan pekerja seni seperti kadar bayaran untuk pelakon veteran, diselesaikan.

“FINAS memandang serius isu kebajikan pelakon lama dan penggiat seni lain. Penubuhan MyCAP adalah jawapan kepada semua kemelut itu.

“Kami sedang dalam proses mengumpul data bagi memudahkan penyelarasan nilai bayaran atau tangga gaji pekerja seni dilakukan.

“Justeru, kami mengalu-alukan supaya semua penggiat seni mendaftar dengan MyCAP kerana kita perlukan data yang lebih spesifik untuk tujuan akreditasi,” katanya kepada BH Online.

BH semalam melaporkan keluhan pelakon ‘senior’ yang mendakwa bayaran diterima tidak setimpal dengan bakat dan pengalaman, malah ada antara mereka diperlekehkan syarikat produksi.

Situasi itu berbeza dengan tingginya apresiasi pembikin filem Hollywood terhadap nilai seni dan bakat bintang senior

seperti Meryl Streep yang masih diberi peranan teraju utama pada usia 72 tahun, malah menggondol trofi Aktres Wanita Terbaik Anugerah Akademi pada usia emas, jika dibandingkan dengan senario di Malaysia.

 

Zed sudah mengemukakan cadangan menangani isu bayaran artis veteran kepada FINAS.
Zed sudah mengemukakan cadangan menangani isu bayaran artis veteran kepada FINAS.

 

Ahmad Idham berkata, urusan pendaftaran MyCAP dibuka kepada tiga kluster iaitu individu; syarikat produksi dan persatuan perfileman.

“Persatuan di bawah MyCAP akan bekerjasama dan memberi input agar semua data yang diberi ahli dapat diseragamkan. Ini digunakan sebagai rujukan menentukan tangga gaji.

“Kita perlukan data yang ‘solid’ seperti tempoh berlakon, pengalaman dan pencapaian yang pernah diraih untuk dijadikan penanda aras.

“Kalau dalam bidang lain, tangga gaji pekerja ditentukan berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman. Kita tidak boleh ikut standard itu kerana cara kerja kita berbeza,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, berkata pihaknya sudah mengemukakan cadangan menangani isu bayaran artis veteran kepada FINAS.

“SENIMAN sudah mengetengahkan isu bayaran pelakon yang dilihat tidak seragam kepada FINAS. Ini termasuk bayaran murah yang diterima artis veteran,” katanya.

Zed berkata, pelakon disaran mendaftar dengan MyCAP bagi memudahkan isu tangga gaji atau bayaran ditangani.

“FINAS sedang mengumpul data penggiat seni. Melalui data ini mereka kendalikan proses akreditasi yang akan menentukan tangga gaji yang sesuai untuk penggiat seni.

“Peranan FINAS amat diperlukan dalam hal ini kerana membabitkan proses perundangan. Sebagai agensi kerajaan, FINAS ada kuasa membabitkan penggubalan akta melindungi pekerja seni.

“Mungkin selepas ini, jika ada syarikat produksi yang membayar pelakon kurang daripada jumlah sepatutnya, melalui akta baharu, kita boleh ambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit,” katanya.

 

Kismah berharap program MyCAP dapat membantu menyelesaikan kemelut dihadapi pelakon veteran.
Kismah berharap program MyCAP dapat membantu menyelesaikan kemelut dihadapi pelakon veteran.

 

Mengulas saranan pelakon veteran, Jalil Hamid yang meminta SENIMAN membantu artis warga emas ini terutama dalam aspek perbincangan kadar bayaran, Zed berkata, perkara itu agak sukar untuk dilaksanakan berikutan kekangan tenaga kerja dan kewangan.

“Untuk menjalankan tugas itu, SENIMAN perlu mewujudkan satu lagi jabatan. Ini menelan belanja yang banyak kerana perlu mencari kakitangan dan membayar gaji mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), Kismah Johar berharap program MyCAP dapat membantu menyelesaikan kemelut dihadapi pelakon veteran.

“Dua tahun lalu, kami menganjurkan kongres membincangkan nasib pelakon veteran yang bukan sahaja diberi bayaran murah, malah, dipinggirkan apabila kurang mendapat tawaran berlakon.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak menampakkan hasil, malah, isu kadar bayaran artis veteran masih berulang.

“Justeru, dengan penyertaan YAVM dalam program MyCAP, besarlah harapan agar nasib kami terbela,” katanya.

Selain SENIMAN dan YAVM, persatuan terpilih menganggotai MyCAP adalah adalah Persatuan Sinematografi Malaysia; Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia; Persatuan Dokumentari Malaysia dan Persatuan Audio Malaysia.

Antara lain, MyCAP menyediakan peruntukan kepada setiap persatuan untuk membiayai program pembangunan modal insan seperti bengkel, kursus dan aktiviti khusus bagi meningkatkan kemahiran dan tahap profesionalisme ahli.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat