SEREMBAN,– Isu Datuk Seri Aminuddin Harun perlu diganti sebagai Menteri Besar dipercayai menjadi perkara utama dalam pertemuan hati ke hati antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan.
Menurut sumber, pertemuan itu diadakan bagi membolehkan Ahmad Zahid mendapatkan maklumat secara langsung daripada ADUN BN berhubung pendirian mereka selepas hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Sumber berkata, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir dalam pertemuan tersebut bagi membolehkan Ahmad Zahid mendengar sendiri pandangan ADUN tanpa dipengaruhi pemimpin kanan negeri.
Difahamkan, mesej yang disampaikan dalam pertemuan itu jelas bahawa BN Negeri Sembilan masih boleh mempertimbangkan untuk mengekalkan kerjasama kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), namun bukan lagi di bawah kepimpinan Aminuddin.
Menurut sumber, pendirian itu bukan bermaksud BN Negeri Sembilan tidak bersedia menjadi pembangkang, sebaliknya mencerminkan hilang kepercayaan yang serius terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar.
Dalam pertemuan sama, Ahmad Zahid juga dipercayai memberi peringatan kepada semua ADUN BN supaya tidak membuat kenyataan media atau mengadakan sidang media berhubung kemelut politik negeri itu secara bersendirian.
Sumber berkata, Ahmad Zahid menegaskan hanya beliau selaku Presiden UMNO dan Jalaluddin selaku Pengerusi UMNO Negeri Sembilan boleh mengeluarkan kenyataan rasmi atau mengadakan sidang media berkaitan isu berkenaan.
Peringatan itu dilihat sebagai usaha memastikan semua kenyataan politik BN Negeri Sembilan selepas ini lebih tersusun, terkawal dan tidak menimbulkan tafsiran bercanggah ketika rundingan di peringkat tertinggi parti masih berjalan.
Latar pertemuan itu muncul selepas Malaysiakini melaporkan perjumpaan membabitkan beberapa ADUN BN Negeri Sembilan berhubung kedudukan politik negeri berkenaan.
Bagaimanapun, sumber BN menyifatkan tafsiran bahawa UMNO-BN Negeri Sembilan tidak bersedia menjadi pembangkang sebagai tidak tepat dan lebih berbentuk permainan persepsi.
Menurut sumber, isu sebenar yang dibawa ADUN BN kepada Ahmad Zahid ialah keperluan menggantikan Aminuddin jika PH mahu formula kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan terus dipertahankan.
Pertemuan itu juga dipercayai penting kerana Ahmad Zahid mahu mendapatkan gambaran sebenar daripada ADUN sendiri sebelum sebarang keputusan politik dibincangkan di peringkat tertinggi parti dan kerajaan perpaduan.
Sebelum ini, 14 ADUN BN Negeri Sembilan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin susulan rasa tidak puas hati terhadap cara Menteri Besar itu mengurus kemelut politik dan isu membabitkan institusi adat negeri.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi, dengan PH menguasai 17 kerusi, BN 14 kerusi manakala Perikatan Nasional lima kerusi.
Kedudukan itu menjadikan sokongan BN penting dalam menentukan kelangsungan kerajaan negeri, terutama sekiranya PH dan BN mahu mengekalkan kerjasama kerajaan perpaduan tanpa membawa Negeri Sembilan kepada krisis politik lebih panjang.
Dalam keadaan semasa, pilihan politik yang kelihatan semakin jelas ialah PH mempertahankan Aminuddin dengan risiko kehilangan sokongan BN, atau menamakan calon Menteri Besar baharu yang boleh diterima bagi mengekalkan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan.



