Dakwaan tuduhan derhaka cuba alih isu kegagalan Menteri Besar – Pemuda UMNO Negeri Sembilan

SEREMBAN,— Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menolak tuduhan kononnya UMNO menderhaka kepada institusi diraja, sebaliknya menyifatkan dakwaan itu sebagai serangan politik yang cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar membabitkan kepimpinan Menteri Besar.

Dalam kenyataan media hari ini, Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata tuduhan Datuk Seri Megat D Shahriman terhadap UMNO adalah tidak berasas, bersifat serangan peribadi dan cuba memesongkan perhatian daripada tindakan Menteri Besar yang didakwa melanggar garis merah adat serta gagal mengurus krisis negeri dengan baik.

Menurut pergerakan itu, label “derhaka” yang dilemparkan terhadap UMNO merupakan manipulasi politik dan persepsi kerana menegur kelemahan seorang Menteri Besar tidak boleh disamakan dengan penderhakaan kepada institusi diraja.

“Menegur kelemahan dan kesilapan seorang Menteri Besar tidak boleh disamakan dengan derhaka kepada Institusi Diraja, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada perjuangan parti kami dan perjanjian yang termaktub antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut menafikan dakwaan bahawa UMNO negeri mengheret institusi diraja ke dalam isu politik.

Sebaliknya, kata mereka, UMNO kekal konsisten mempertahankan institusi diraja, Adat Perpatih, kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

Menurut kenyataan itu, isu yang dibangkitkan UMNO adalah berkaitan tindakan Menteri Besar yang menimbulkan persepsi negatif akibat kelemahan pengurusan dan ketidakpatuhan terhadap sensitiviti struktur negeri.

“Fokus sebenar ialah kepincangan, kegagalan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh Menteri Besar dalam pentadbiran yang perlu diberi perhatian secara serius dan berprinsip, bukannya dialihkan dengan naratif politik yang menyalahkan pihak lain,” katanya.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan juga menegaskan parti itu menolak sebarang bentuk tekanan, ugutan atau cubaan memaksa mereka berdiam diri dalam isu berkenaan.

Dalam masa sama, pergerakan itu menegaskan UMNO menjunjung kasih dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Katanya, UMNO Negeri Sembilan tidak pernah, tidak sedang dan tidak akan menyokong sebarang usaha tidak berperlembagaan untuk menggugat kedudukan Tuanku Muhriz.

“Sebarang dakwaan bahawa UMNO terlibat dalam konspirasi penderhakaan adalah fitnah berat dan mesti dibuktikan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata isu yang dibangkitkan parti itu hanyalah berkaitan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar dalam mengurus krisis adat dan perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, mereka mahu kemelut berkenaan diselesaikan melalui saluran sah termasuk Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, proses Dewan Undangan Negeri dan lunas perlembagaan negeri.

“UMNO Negeri Sembilan kekal teguh sebagai suara rakyat, benteng semak dan imbang, serta pembela Institusi Diraja dan Adat Perpatih,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat