Pergi kenduri di KL bawa balik varian South African ke Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kewujudan varian South African B.1.351 di Kelantan sehingga semalam dipercayai daripada penduduk dari negeri ini yang hadir kenduri di Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata varian itu dikesan hasil pergerakan rentas negeri.

Katanya, sehingga semalam sebanyak 10 kes dikesan membabitkan varian berkenaan daripada Kluster Bunut Sarang Burung.

“Untuk kes varian South African B.1.351 ini, kita mengesan ia hasil pergerakan rentas negeri. Mungkin rakyat Kelantan pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri sebelum membawa balik varian berkenaan.

“Bagi kes tercetus dari pergerakan rentas negeri, kita tidak boleh menyalahkan perantau semata-mata kerana ia membabitkan kedua-dua pihak iaitu rakyat Kelantan yang berkunjung ke luar, selain orang luar masuk ke Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) seperti dipetik Berita Harian di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesan kewujudan varian baharu di negara ini iaitu South African B.1.351 menerusi empat kes penularan tempatan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, varian South African B.1.351 itu kali pertama dilaporkan di dunia pada Disember 2020 di dua negara iaitu United Kingdom dan Afrika Selatan.

Katanya, di Malaysia varian itu mula dikenal pasti pada Mac lalu dan ia mempunyai kaitan lokasi geografi serta berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

Dr Izani berkata, kewujudan varian di Kelantan itu begitu mengejutkan kerana ia mempunyai lima kesan yang menjadikan ia berbahaya.

“Antaranya, kadar kebolehjangkitan (RT) akan menjadi tinggi dan mengurangkan imuniti badan, selain mereka yang dijangkiti COVID-19 daripada varian itu akan menjadi lebih teruk berbanding pesakit lain.

“Justeru, saya mengingatkan semua pihak termasuk golongan kenamaan tidak melakukan rentas negeri jika tiada urusan penting.

“Perkara ini yang menjadi kesukaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencegah rentas negeri kerana masing-masing mempunyai surat kebenaran,” katanya. –SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat