Gogopasar Dan Kopenas Bekerjasama Memacu Pendigitalan Koperasi Sekolah Di Melaka

Melaka – Gogopasar, sebuah platform e-dagang yang mengintegrasikan rantaian bekalan perniagaan tani inovatif, kini menerokai pendigitalan di negeri Melaka dengan kerjasama Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (KOPENAS) dengan menggunakan Platform Elektronik Transformasi Sekolah (STEP).

“Model e-dagang Gogopasar memenuhi visi KOPENAS untuk mendigitalkan operasi koperasi sekolah di Melaka bagi sekolah-sekolah yang mengambil bahagian. Kami adalah rakan kongsi runcit utama dan baru-baru ini, kami telah menubuhkan pusat pengedaran di Ayer Keroh, Melaka bagi tujuan ini. Gogopasar menyasarkan usaha ini bagi membantu meringankan beban ibu bapa dengan menyediakan satu platform sehenti (one stop platform) untuk pendidikan anak-anak mereka dan sambil dapat membeli keperluan asas keluarga seperti barangan runcit menerusi kedai atas talian termasuk penghantaran terus ke rumah,” kata Lynn Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Gogopasar sewaktu majlis pelancaran rasmi ‘Melaka Go Digital- Digital Economic Collaboration’ di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Sebagai anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) di bawah segmen pertanian bersepadu (Integrated Farming) yang dikenali sebagai FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), Gogopasar merupakan salah satu strategi pendigitalan FGVIF.

Sebagai platform rantaian bekalan e-runcit inovatif yang pertama oleh FGV, ia mempunyai model perniagaan yang unik dan terbukti untuk menjadikannya sebagai satu-satunya syarikat ‘startup’ digital dengan penghantaran capaian akhir (last mile delivery) di Lembah Klang.

“Bermula di peringkat koperasi sekolah, saya amat percaya bahawa kerjasama ekonomi digital ini akan mempercepatkan lagi transformasi digital bukan sahaja di Melaka tetapi akhirnya merentasi semua negeri di Malaysia, membantu masyarakat mengikuti perkembangan teknologi selaras dengan pembangunan teknologi di seluruh dunia.

Selaras dengan matlamat transformasi digital negara kita juga, Gogopasar menyasarkan untuk membantu petani memasarkan produk tani mereka terus kepada pengguna secara lebih meluas dengan adanya platform e-dagang seperti Gogopasar. Sasaran kami adalah untuk mengembangkan kemudahan ini ke seluruh negara menjelang 2024,” katanya.

Salah satu perkara yang menarik dan unik tentang Gogopasar ialah program keusahawanan yang dikenali sebagai ‘Gogopreneur’. Program ini meningkatkan kemahiran komuniti dalam bidang e-dagang dan pemasaran digital, yang seterusnya dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup, lebih-lebih lagi mereka yang terkesan dalam pandemik Covid-19.

Gogopasar juga menyediakan ‘latihan dalam talian’ secara virtual kepada individu-individu yang mendaftar sebagai Gogopreneur. Pada masa yang sama, ini memberi kesan yang positif kepada masyarakat dengan menggalakkan orang ramai, terutama sekali golongan asnaf dalam menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian tanpa perbelanjaan modal.

Semasa pelancaran, kumpulan nasyid popular tempatan, Rabbani, telah dilantik sebagai Gogopreneur sebagai inspirasi kepada orang ramai bagi memupuk konsep pendigitalisasian dalam perniagaan. Rabbani juga menggalakkan lebih ramai orang untuk mendaftar dan menghadiri latihan Gogopreneur bagi meningkatkan kemahiran diri dalam keusahawanan e-dagang.

“Ini adalah peluang perniagaan yang berharga dan berbaloi untuk membantu saya mendalami e-dagang. Selaku Gogopreneur, saya yakin ini adalah platfom terbaik untuk rakan niaga dan pengguna kerana ianya mudah dan selamat tanpa perlu menyimpan barang-barang. Perniagaan juga amat digalakkan dalam Islam,” kata Ustaz Azadan, ahli Rabbani.

Rakan strategik dalam usaha ini,KOPENAS, ialah sebuah organisasi koperasi kredit yang dianggotai oleh kakitangan kementerian pendidikan yang menawarkan pelbagai jenis pembiayaan untuk koperasi sekolah sejak 1984. KOPENAS melibatkan VX Sdn Bhd, syarikat penyedia penyelesaian teknologi digital, yang mencipta dan membangunkan STEP, platform e-dagang yang mesra pengguna ini. Ia memenuhi keperluan pelajar sekolah dan ibu bapa untuk memudahkan komunikasi dalam talian dengan sekolah mereka seperti mempamerkan markah ujian, jadual sekolah dan kemudahan pengumuman lain untuk makluman para ibu bapa dan pelajar.

“Teknologi dunia semakin berkembang pesat dan seiring dengan inisiatif digitalisasi. Ia dapat memberi potensi besar kepada koperasi sekolah untuk meningkatkan daya saing dalam dunia moden dengan mewujudkan koperasi sekolah yang boleh bergerak dinamik memperkembangkan perniagaan. Penggunaan aplikasi dalam talian menggunakan pemasaran digital membantu koperasi kelihatan lebih maju serta profesional dalam hal organisasi, hal dasar dan kecekapan operasi bagi memberi manfaat kepada koperasi dan pengguna.

“Pendigitalan koperasi sekolah melalui program STEP secara tidak langsung dapat memasarkan produk koperasi sekolah itu sendiri bukan hanya kepada anggota koperasi sebaliknya kepada ibu bapa dan masyarakat setempat. Disamping itu juga, kecekapan dalam tadbir urus koperasi menggunakan perisian ini akan dapat menukar kaedah perniagaan konvensional koperasi kepada kaedah pendigitalan. KOPENAS percaya bahawa peranan koperasi sekolah dapat memperkukuh ekonomi selaras dengan matlamat Revolusi Perindustrian 4.0 negara digital,” kata Pengerusi KOPENAS, Tuan Haji Jumat Mat Lani.

STEP juga menyediakan pelbagai gerbang pembayaran yang menyokong keperluan pembayaran pendidikan dan juga faedah tambahan membeli-belah untuk keperluan seperti barangan runcit dan bekalan sekolah atas talian pada harga yang sangat
berpatutan. Ia adalah satu cara untuk koperasi sekolah meluaskan jangkauan dan memenuhi keperluan pelajar dan ibu bapa
mereka untuk membeli-belah bukan sahaja barangan sekolah tetapi juga barangan runcit pada harga koperasi sekolah.

“Kami menyediakan STEP untuk memberi kemudahan dan kesenangan kepada ibu bapa kanak-kanak dari sekolah yang
mengambil bahagian dalam inisiatif ini. STEP akan memudahkan perkongsian maklumat atau pembelian untuk bekalan sekolah
dan Pendidikan. Secara tambahan, menggunakan platform STEP untuk membeli juga membolehkan ibubapa memperolehi
barangan runcit pada harga yang berpatutan dan kompetitif. STEP juga membantu koperasi sekolah untuk menjangkau lebih
ramai ibu bapa yang mendapati ianya sukar untuk pergi ke sekolah secara peribadi untuk mendapatkan bekalan dan barangan
runcit untuk anak-anak dan keluarga mereka. Ini membuktikan bahawa inisiatif memajukan pendigitalan komuniti kami berbaloi
untuk semua yang terlibat,” kata YM Tunku Aaran Tunku Mutamir, Pengerusi VX.

VX akan menyokong pengurusan e-dagang STEP, manakala Fuiyoh Hub, yang merupakan platform penghantaran capaian akhir
(last-mile delivery) hasil kerjasama syarikat Brogrammer Digital Sdn Bhd dengan KOPENAS, akan menyokong keperluan logistik
inisiatif ini di negeri Melaka.

Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, iaitu Sekolah Menengah Muzaffar Syah (MOZAC), MRSM Jasin dan Sekolah Harian Durian Tunggal akan mendapat manfaat daripada inisiatif mendigitalkan aktiviti mereka dan meluaskan capaian koperasi mereka
untuk keuntungan lebih tinggi.