BN-PN belum runding rasmi agihan kerusi DUN Melaka – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Rundingan rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum bermula.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut ditentukan selepas rundingan rasmi antara kepemimpinan tertinggi kedua-dua gabungan itu.

Katanya, semua pihak diminta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan.

“Tiada mana-mana pihak sepatutnya mendahului kepemimpinan dengan membuat pelbagai kenyataan, lebih-lebih lagi dalam media sosial sehingga menimbulkan persepsi tidak tepat.

“Soal agihan kerusi biarlah kepemimpinan kedua-dua parti menentukan selepas rundingan rasmi antara kepemimpinan tertinggi BN dan PN diadakan. Ingin saya tekankan, jangan ada sesiapa pun yang mendahului kepimpinan tertinggi.

“Bila ada pihak yang berlagak hero, mengeluarkan kenyataan dalam media sosial dan berlagak seperti hero boleh menimbulkan kecelaruan, tetapi di pihak kepemimpinan sebenarnya kami tidak ada masalah pun,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan lapor Utusan.

Sebelum ini, BN dilaporkan berhasrat mempertahan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang gabungan itu pada PRN Melaka yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mengulas mengenai kerjasama Umno dan Pas di empat negeri yang ditadbir PN, Asyraf Wajdi memberitahu, ia memerlukan sifat berlapang dada daripada semua pihak.

Katanya, berdasarkan sentimen dan kehendak rakyat di peringkat akar umbi seperti yang dapat dilihat pada PRN Negeri Sembilan, rakyat mahu melihat orang Melayu tidak terus berpecah.

“Yang penting kita mahu memberi isyarat kepada seluruh rakyat Malaysia supaya tidak bimbang apabila parti-parti besar khususnya Umno dan Pas bekerjasama kerana ia akan menguatkan lagi politik di negara kita,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat