KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda Pas Muhammad Hanif Jamaluddin menyeru orang ramai menolak pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang diusahakan DAP.
Beliau mengingatkan supaya tidak terpedaya dengan wajah baharu yang membawakan permainan lama.
“Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) kita bantah, mereka gagal.
“Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kita lawan, mereka undur.
“Hari ini muncul pula pilihan raya Datuk Bandar KL. Pelakon sama. Skrip sama, matlamat sama iaitu ingin terus berkuasa.
“Jangan lalai. Jangan terpedaya dengan wajah baharu permainan lama.
“Sebagaimana kita bantah URA dan PBT,rancangan kali ini juga mesti ditolak,” tegas Hanif.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menegaskan kajian perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat berhubung cadangan mengadakan pilihan raya jawatan datuk bandar Kuala Lumpur, susulan bantahan beberapa pihak.
Beliau turut mempersoalkan kebimbangan segelintir pihak terhadap proses kajian yang menurutnya penting bagi memastikan sesuatu dasar digubal berdasarkan fakta dan data yang tepat.
“Kenapa takut dengan kajian? Kajian akan membuatkan kita lebih bijak. Kajian juga satu proses mendapatkan keputusan yang lebih baik. Oleh itu, jangan sesekali takut dengan kajian.
“Malah, kebijaksanaan adalah elemen penting sebagai pemimpin yang bertanggungjawab memimpin rakyatnya,” kata Hannah.



