Jenazah Jamali Shadat Selamat Dikebumikan

- Advertisement -

PELABUHAN KLANG – Jenazah pelawak komediri veteran, Jamali Shadat atau nama sebenarnya Jamalai Shadat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, di sini petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan di Masjid Ar-Rahman Kampung Sungai Pinang kira-kira 12 tengah hari sebelum disolatkan di kediamannya di kampung berkenaan oleh kira-kira 10 jemaah ahli keluarga.

Suasana pilu menyelubungi anggota keluarga dan sahabat handai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang dikebumikan berhampiran kubur Allahyarhamah isterinya, Lela Yacob.

Anak keenam Allahyarham, Fauzi Jamali, 49, berkata ayahnya sudah lama tidak seceria dulu sejak pemergian ibunya pada Jun 2018 akibat serangan angin ahmar.

“Arwah pun dah tidak banyak berbual. Hanya bercakap sepatah-sepatah sahaja. Kalau orang datang melawat ayah, bercakap pun sudah tidak kedengaran jelas suaranya.

“Ayah semakin uzur sejak tersebar berita palsu mengenai kematiannya awal Januari lepas. Tiga minggu kebelakangan ini arwah ayah sudah terbaring dan kesihatannya semakin merosot tiga hari lalu,” katanya kepada pemberita di kediaman Allahyarham, di sini hari ini.

Jamali, 78, yang juga pemilik suara ‘Atan’, watak budak lelaki yang sering membuli datuknya meninggal dunia 9 pagi tadi di kediamannya.

Pelawak era 1970-an itu berbakat dalam melontarkan suara ‘Atan’ dan datuknya, ‘Atok’ serta rakan kanak-kanak itu dalam nada berbeza dan mengikut bahasa slanga rakyat Malaysia.

Kebolehan Allahyarham melantunkan suara watak pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam rutin lawak beliau sinonim dengan masyarakat majmuk Malaysia.

Jamali yang dilahirkan pada 1942 di Bukit Kapar, Klang pernah membintangi beberapa filem antaranya Hantu Siang pada 1986, Mr Cinderella 2 (2003), Senario The Movie Episode 2: Beach Boys (2009) dan Semerah Cinta Stiletto (2010).

Allahyarham juga pernah terlibat menjayakan program Raja Lawak terbitan Astro dan menerima Anugerah Lawak Warna bagi kategori Anugerah Khas Juri pada 2014 sebagai mengenang jasa dan bakatnya dalam arena komedi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menerusi hantaran Facebook rasminya, turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan negara kehilangan seorang tokoh seniman yang cukup berbakat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat