KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman.
Maka, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Istana Negara dalam kenyataan pada Jumaat, 3 Januari 2025 memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.
“Kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang,” katanya.
Justeru, Istana Negara menegaskan semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.