KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menetapkan syarat untuk melesenkan pengoperasian media sosial di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata ketika ini media sosial beroperasi di negara ini secara tidak berdaftar.
Susulan itu, beliau berkata, apabila media sosial berdaftar di negara ini kelak, pihaknya boleh mengarahkan mereka patuh pada undang-undang dan segala arahan ditetapkan di negara ini.
“Ini boleh dilakukan tatkala kita memastikan platform media sosial ini berdaftar di negara kita. Pada waktu ini tidak ada.
“Jadi kita perlu pastikan mereka berdaftar supaya mereka faham untuk mereka beroperasi dan berniaga dalam Malaysia, mereka wajib patuh kepada undang-undang kita dan ikut arahan.
“Jadi masalah ini seharusnya perlu diselesaikan segera,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, semalam, lapor BH.
Terdahulu ketika mencelah penggulungan itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) membangkitkan satu isu terkait dengan Facebook apabila mendakwa platform berkenaan begitu mudah menerbitkan iklan perjudian.
Selaku orang politik, Shu Qi akui sukar untuk mengiklankan isu sosial termasuk berkait hal ehwal pilihan raya di Facebook kerana diminta untuk mengisytiharkan maklumat peribadi terlebih dulu.
“Salah satu masalah dengan Facebook adalah mereka tidak minta semua yang buat iklan judi itu isytihar maklumat peribadi. Walhal seluruh dunia khususnya di Malaysia, apabila ahli politik kita nak iklankan isu sosial ataupun pilihan raya, diminta isytihar maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat dan sebagainya.
“Tetapi orang yang buat iklan judi tanpa isytihar apa-apa maklumat, mereka sudah boleh terus buat iklan (di Facebook). Sebenarnya saya sudah buat kajian, di negara lain contohnya di Eropah, mereka ada garis paduan.
“Jadi boleh tak minta Meta (tetap peraturan) ke atas semua orang yang nak buat iklan ini supaya isytiharkan (maklumat peribadi) khasnya, untuk sekat iklan judi dalam talian,” katanya.
Sebagai respon terhadap gesaan untuk meminta Meta selaku pemilik Facebook melakukan pengisytiharan maklumat peribadi terhadap pihak yang mahu mengiklan kandungan perjudian, Fahmi bersetuju untuk mengarahkan syarikat berkenaan berbuat demikian.
Bagi memastikan masalah judi dalam talian dapat diatasi lebih berkesan menerusi platform kelolaan Meta, Fahmi berkata, pihaknya masih tidak berpuas hati dengan kerjasama syarikat berkenaan.
“Oleh itu, KKD melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berbincang bagi mendapatkan kerjasama penuh daripada Meta, dalam memastikan masalah judi dalam talian dapat diatasi dengan lebih berkesan.
“Antara kerjasama diminta adalah komitmen pelaksanaan tindakan penurunan kandungan dalam tempoh pantas bagi setiap permohonan diterima daripada pihak berkuasa Malaysia,” katanya.
Sejak 1 Januari hingga 30 September lalu, MCMC dengan kerjasama Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp menurunkan 7,844 kandungan berkaitan perjudian.