AS, Eropah konon jaga hak asasi manusia kini hantar kapal perang atas nama ‘perlindungan’ – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang lantang menjaga hak asasi manusia sepatutnya menghantar bantuan kemanusiaan akan tetapi, mereka menghantar kapal perang yang membawa senjata dan tentera atas nama perlindungan.

Presiden PAS berkata, AS dan Eropah turut bersama-sama melakukan keganasan jenayah perang dan mencabuli undang-undang antarabangsa yang mengawal peperangan supaya tidak melampau, tiba-tiba ikut serta melampau.

“Media yang menembusi langit terbuka tanpa sempadan mendedahkan ke seluruh pelosok dunia, betapa ganasnya Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang berada di kawasan perlindungan sehingga di kawasan seperti hospital, rumah ibadat, dan sekolah, selain membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua, dan pesakit.

“Perbuatan ini mencetuskan kemarahan rakyat negara masing-masing yang masih berperikemanusiaan termasuk Amerika Syarikat dan Eropah, bersama negara Arab dan Islam yang bersimpati dengan rakyat Palestin yang dizalimi,” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS pada Rabu.

Bahkan paling menarik ialah tindakan beberapa negara Amerika Latin memutuskan hubungan diplomatik dan menghalau duta Israel, kata beliau.

Malangnya menurut Hadi, ada pula negara Arab dan Islam masih melakukan normalisasi dengan Israel dan adanya NGO dan parti politik di Malaysia melarang takbir, termasuk melarang kanak-kanak sekolah yang bersemangat membawa senjata mainan kerana marah akan keganasan sehingga membakar bendera Israel dan bala tentera Ahzab yang membantunya.

“Masih ada lagi pewaris sistem pendidikan warisan penjajah yang melemahkan dan membodohkan umat Islam atas jenama perdamaian dan menentang keganasan, supaya tidak melawan pencerobohan keganasan penjajah dan tindakan zalim melampau yang dilakukan oleh mereka.

“Jangan menjadi kalangan yang bermuka-muka kerana takut akan gelombang rakyat dengan berpura-pura dan bercakap bersama Palestin, sedangkan hati mereka bersama Zionis dan bala tentera Ahzab,” bidas beliau.

Jelas Hadi lagi, negara besar yang dipimpin oleh AS dan diikuti oleh negara Eropah yang bersamanya juga melakukan jenayah perang apabila menghantar tentera dan senjata bagi membantu Israel, membenarkan segala tindakan jenayah perangnya, dan menggunakan kuasa veto bagi membatalkan keputusan yang menghukum Israel.

“Mereka bertindak atas nama berhak mempertahankan negara haram Israel yang merompak dan melakukan jenayah perang terhadap penduduk asal Palestin yang berhak.

“Sebaliknya, mereka menghukum rakyat Palestin yang berjihad bagi membebaskan tanah air dan mempertahankan tanah suci agama sebagai pengganas. Serangan menggila itu bukan sahaja disasarkan ke kawasan awam, malah termasuk hospital, rumah ibadat seperti masjid dan gereja, sekolah, dan khemah penempatan mangsa peperangan yang dimusnahkan rumah kediaman mereka.

“Mereka melakukan propaganda melampau untuk menarik simpati antarabangsa kerana menjadi mangsa Holocaust iaitu pembunuhan beramai-ramai terhadap Yahudi oleh pihak Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Sebenarnya, merekalah yang melaksanakan Holocaust terhadap rakyat Palestin di dalam tanah air mereka yang dijadikan penjara, disekat segala kemudahan hidup, dan dibelasah dengan pembunuhan yang lebih kejam,” tegas beliau.

Hadi menyatakan bahawa negara penjajah Barat bertanggungjawab mencipta negara yang dinamakan Israel, bertujuan menjaga urusan bagi meneruskan penjajahan mereka yang zalim sejak beberapa abad yang lalu, selain menjaga kepentingan mereka dengan menghalalkan segala cara.

Maka katanya, tidak hairanlah jika negara-negara yang terlibat itu memejamkan mata sahaja terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel di Gaza hari ini sehingga melanggar undang-undang antarabangsa yang telah mereka ciptakan bersama.

“Malah, perbuatan Zionis itu telah melampaui batas kemanusiaan dan mengatasi keganasan binatang liar yang paling ganas, apabila dilihat jumlah korban kanak-kanak, orang tua, kaum wanita, dan lain-lain.

“Bukan sahaja kawasan kediaman awam, bahkan serangan ganas turut disasarkan ke atas rumah ibadat, hospital, dan sekolah yang sudah dikira sebagai jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa.

“Negara besar dan sekutunya pada hari ini pernah mencipta sejarah hitam sewaktu mereka datang menjajah negara Asia, Afrika, Amerika, dan Australia. Mereka mengganas dan membunuh penduduk asal seperti membunuh binatang liar dengan lebih ganas, malah ada yang ditawan dan dijadikan hamba abdi yang dijual laksana barangan, selain merompak segala hasil tanah jajahan mereka,” ujarnya.

Justeru kata Hadi, tidak hairanlah kalau mereka boleh menyokong Israel yang sedang mengganas sekarang, bahkan memayunginya dengan bantuan senjata serta sokongan politik dan media yang tidak berbelah bahagi demi menghalalkannya.

“Di samping itu, mereka membuat kenyataan terbuka bahawa Israel berhak melakukan apa-apa sahaja kononnya kerana mempertahankan diri dan kedaulatannya yang haram.

“Sebaliknya, pihak yang melawan Israel pula semuanya dianggap sebagai pengganas.

“Ada pula negara Arab dan Islam yang tidak tersentuh perasaan mereka dengan kenyataan tersebut dan melakukan normalisasi dengan negara Israel.

“Sebaliknya, rakyat Palestin yang mempertahankan diri dan tanah asal mereka dikecewakan dan dipersalahkan pula,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat