Kongres AS mohon peruntukan AS14.3 bilion bagi bantu Israel

- Advertisement -

WASHINGTON – Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Mike Johnson, akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bantuan Israel berjumlah AS$14.3 bilion (RM67.9 bilion) untuk diundi Dewan itu.

Tindakan itu bagaimanapun dilihat berisiko meningkatkan defisit Persekutuan, seperti dilaporkan Pejabat Belanjawan Kongres (CBO).

Johnson, yang mewakili parti Republikan, menjelaskan RUU itu bertujuan menyediakan peruntukan AS$14.3 bilion (RM67.9 bilion) untuk Israel dengan memotong pembiayaan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS).

Dewan boleh mengundi RUU itu dan meluluskannya dengan sokongan Republikan seawal hari ini, namun dijangka berdepan tentangan sengit di Senat yang dikawal oleh Demokrat, sekali gus menyukarkan RUU itu untuk diluluskan.

Rumah Putih pula mengancam untuk menguatkuasakan veto bagi memastikan peruntukan itu diluluskan kepada Israel, ketika perangnya dengan Hamas semakin memuncak.

Perwakilan Demokrat dan beberapa anggota Republikan menentang rancangan itu, sebaliknya memilih untuk menyokong permintaan Presiden AS, Joe Biden, bagi meluluskan dana AS$106 bilion (RM503 bilion).

Peruntukan itu merangkumi jumlah keseluruhan bantuan kepada Israel, pembiayaan bagi Ukraine memerangi pencerobohan Russia, meningkatkan keselamatan sempadan, bantuan kemanusiaan dan usaha mengekang pengaruh China di Indo- Pasifik.

Johnson bagaimanapun mengundi untuk menolak bantuan kepada Ukraine sebelum beliau menjadi Speaker.

Namun, Senator Republikan, Josh Hawley, memaklumkan pihaknya menyokong sejumlah dana untuk kerajaan di Kyiv, cuma ia tidak perlu digabungkan dengan bantuan Israel.

Sementara itu, pejabat Johnson belum memberikan maklum balas berhubung tindakannya itu, lapor Reuters.

Menurut Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) bukan partisan kelmarin, pemotongan IRS dan bantuan Israel dalam RUU kendiri akan menambah hampir AS$30 bilion (RM142 bilion) kepada defisit bajet AS, yang kini dianggarkan AS$1.7 trilion (RM8 trilion).

Namun Johnson menolak penjelasan CBO itu.

Bagi RUU untuk diluluskan menjadi undang-undang, ia mesti melepasi Dewan Perwakilan, Dewan Negara dan ditandatangani sebagai undang-undang oleh Biden.

Demokrat menuduh Johnson membuang masa dengan menyokong langkah partisan dan bukannya RUU yang akan diluluskan dengan cepat untuk menangani krisis berikutan serangan 7 Oktober ke atas Israel oleh pejuang Hamas.

Selasa lalu, Ketua Demokrat Senat, Chuck Schumer, berkata RUU itu dijangka tidak dapat melepasi Dewan Negara.

Kerajaan Biden dilaporkan akan gunakan kuasa veto RUU itu jika sampai ke peringkatnya, kerana menganggap ia buruk untuk Israel, rantau Asia Barat dan keselamatan AS sendiri jika tidak diluluskan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat