GEORGE TOWN, – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang mengecam keras tindakan tentera Israel yang menahan 12 sukarelawan Malaysia, termasuk aktivis muda serta tokoh seni tanah air, Zizi Kirana dan Farah Lee, ketika mereka menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.
Dalam satu kenyataan hari ini, sayap wanita muda UMNO itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai biadab, tidak berperikemanusiaan serta jelas mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Menurut kenyataan itu, sukarelawan Malaysia hanya membawa bantuan makanan, ubat-ubatan serta harapan untuk rakyat Gaza, tanpa sebarang senjata. Puteri UMNO Pulau Pinang menegaskan keberanian para sukarelawan tersebut adalah simbol keteguhan jiwa anak muda Malaysia yang rela berkorban demi nilai kemanusiaan sejagat.
“Kami melihat ini sebagai jihad kemanusiaan yang sebenar berjuang dengan hati, doa dan pengorbanan,” tegas kenyataan itu.
Puteri UMNO Pulau Pinang turut menggesa kerajaan Malaysia memperhebat usaha diplomatik di peringkat PBB, OIC serta blok antarabangsa lain bagi menuntut pembebasan segera semua sukarelawan Malaysia. Selain itu, ASEAN juga digesa untuk mengangkat suara serantau yang lebih lantang dalam isu kemanusiaan Palestin.
Sayap itu turut menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, agar mengambil keterlibatan lebih menyeluruh serta memberi tekanan diplomatik demi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan tersebut.
Puteri UMNO Pulau Pinang dalam masa sama mengajak masyarakat antarabangsa, khususnya wanita dan generasi muda, bangkit menolak kezaliman Israel serta menuntut laluan bebas bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Kemanusiaan adalah perjuangan rentas bangsa, agama dan generasi. Anak muda Malaysia telah membuktikan bahawa jihad bukan semata-mata dengan senjata, tetapi juga dengan keberanian mempertahankan hak dan melawan kezaliman,” jelas kenyataan itu.
Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang menegaskan pihaknya akan terus bersuara bersama rakyat Palestin sehingga keadilan ditegakkan dan penderitaan mereka berakhir.



