KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri menyeru agar komuniti antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan seluruh dunia bangkit menekan Israel supaya segera membebaskan kesemua anggota Global Sumud Flotilla (GSF) tanpa syarat serta memastikan saluran bantuan ke Gaza tidak lagi diganggu.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri menegaskan, seluruh dunia wajib mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menahan anggota GSF yang menyertai misi kemanusiaan membawa bantuan ke Gaza.
Menurut Ismail Sabri, penahanan mereka membuktikan sekali lagi bahawa Israel bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa malah menghalang bantuan kemanusiaan untuk sampai kepada rakyat yang sedang menderita.
“Tindakan rejim apartheid Zionis ini juga adalah penghinaan kepada masyarakat dunia yang telah bangkit dan berterusan mendesak Israel supaya menghentikan perang ini.
“Saya menggesa agar Amerika Syarikat (AS) yang selama ini melindungi Israel menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk memberi tekanan kepada Israel bagi membebaskan serta membenarkan misi kemanusiaan terus ke Gaza
“Suara solidariti bersama Palestin tidak akan pernah padam selagi kekejaman Israel tidak dihentikan. Marilah kita sebagai rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan sukarelawan Malaysia dan sukarelawan negara lain dilindungi Allah SWT dan seterusnya selamat kembali ke tanah air,” ujar beliau.



